Dalam kita tidak sedar, Malaysia sudah pun memasuki tahun ke -68 kemerdekaannya. Banyak yang sudah kita kecapi pada saat ini. Bermula dari perjuangan hak kemerdekaan, penubuhan negeri – negeri Melayu Bersekutu, pengiktirafan penubuhan Malaysia dan sebagainya. Sehinggakan pada hari ini kita mengecapi nilai kemajuan juga melalui hasil titik peluh nenek moyang kita memperjuangkan kemerdekaan Malaysia.
Namun, semakin maju dan pesatnya tamadun dan kemajuan, rakyat semakin hari seakan semakin hilang rasa hormat di antara satu sama lain hingga menganggu gugat keharmonian negara. Itu belum termasuk fitnah – fitnah yang cuba ditimbulkan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk memecah belah ukhuwah sesama manusia. Oleh itu, sempena sambutan Hari Kebangsaan yang akan datang, mari kita sama – sama amalkan kembali sikap menyantuni dan menghormati sesama umat manusia demi mencap keharmonian negara.
Untuk mengecapi keharmonian negara dalam Islam, ia memerlukan sikap keterbukaan, saling hormat-menghormati, dan kesediaan untuk menjaga kemaslahatan masyarakat yang pelbagai agama dan bangsa. Umat Islam seharusnya menghayati ajaran Islam tentang hikmah dan kasih sayang, serta mengaplikasikan nilai-nilai seperti kesatuan ummah untuk membina negara yang sejahtera, adil, dan makmur.
Dengan mengamalkan syariat lslam, maka keadaan aman dan damai akan dapat menjamin kebahagiaan dan keselamatan rakyat sesebuah negara. Akhirnya, agenda perpaduan yang diamalkan membawa kemajuan dengan mudah. Kayu ukur perpaduan amat mustahak kerana ia dapat mengekalkan keharmonian dan kedamaian di negara ini. Firman Allah SWT:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).” (QS Al – Hujurat: 13).
Sebagai umat Islam yang berpegang teguh dengan panduan dan pedoman al-Quran dan as-Sunnah, amat penting untuk kita sentiasa mengeratkan silaturahim dan menampilkan contoh yang terbaik kepada masyarakat khususnya kepada yang bukan Islam. Hal ini bukan sahaja dapat memelihara perpaduan, malah berupaya untuk menarik masyarakat bukan Islam untuk mencintai Islam. Ini kerana sifat kita yang sentiasa menyantuni mereka dengan akhlak terbaik. Rasulullah SAW berpesan dalam sebuah hadis di mana sabda Baginda yang bermaksud:
“Suatu ketika, Rasulullah SAW ditanya, “Muslim yang bagaimanakah paling utama?” Nabi bersabda, “Muslim yang paling utama ialah seorang Muslim yang mana orang-orang Muslim (lainnya) selamat dari keburukan mulut dan tangannya.” (HR Abu Musa al-Asy’ari).
Sempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan ke – 68, marilah kita sama – sama mengamalkan kembali sikap saling menyantuni sesama rakyat seperti tema Hari Kemerdekaan, ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’. Walaupun temanya mengangkat tentang usaha pentadbiran negara dalam memelihara kebajikan rakyat berlandaskan prinsip MADANI yang merangkumi nilai kemanusiaan, keadilan dan perpaduan, ia juga boleh diamalkan oleh segenap lapisan rakyat dalam membina kembali jati diri patriotik di dalam diri demi melaksanakan kembali perpaduan dalam masyarakat demi keharmonian negara yang sejati.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Comments
Post a Comment