Islam adalah agama yang menjunjung mesej keamanan dan kedamaian dalam seluruh aspek kehidupan manusia. Prinsip ini berkali-kali ditegaskan di dalam al-Quran dan sunah, bagi membuktikan bahawa Islam tidak pernah merestui sebarang bentuk kekerasan atau permusuhan, melainkan apabila nilai keamanan itu dicabuli atau diancam. Firman Allah SWT:
"Dan (bagi kaum yang kufur ingkar) Allah telah membuat suatu perumpamaan (dengan) sebuah negeri yang dahulunya aman lagi tenteram, rezeki datang kepadanya melimpah-ruah daripada segenap tempat, tetapi penduduknya mengingkari nikmat-nikmat Allah, kerana itu Allah merasakan kepada mereka kelaparan dan ketakutan disebabkan apa-apa yang selalu dilakukan oleh mereka." (QS An – Nahl: 112).
Salah satu bukti yang menunjukkan bahawa Islam ini adalah agama kedamaian dan menjunjung tinggi prinsip keharmonian sesama manusia adalah sikap hormat – menghormati di antara satu sama lain dan juga sikap prihatin di antara sesama manusia baik yang Islam mahupun bukan Islam. Sifat saling hormat-menghormati ini harus ada kepada seseorang Muslim yang mengaku beriman kepada Allah SWT. Sikap hormat-menghormati ini adalah antara ciri-ciri menampilkan seseorang yang berakhlak mulia. Sabda Rasulullah SAW:
“Orang-orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah mereka yang paling bagus akhlaknya.” (HR At – Tirmidzi).
Selain itu, membantu sesama insan juga dilihat sebagai salah satu bentuk prihatin kita kepada manusia. Ini seperti sabda Rasulullah SAW:
"Manusia yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling memberikan manfaat bagi manusia. Adapun amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah membuat Muslim yang lain bahagia, mengangkat kesusahan daripada orang lain, membayarkan hutangnya atau menghilangkan rasa laparnya." (HR Tabrani).
Oleh itu, buangkanlah perkara yang keruh dan kembali menjadi manusia yang penuh dengan sifat hormat – menghormati serta prihatin terhadap manusia lainnya. Biarpun kita berbeza bangsa, agama, ras dan pandangan politik, namun kperihatinan dan sikap saling menghormati itu harus diutamakan dalam kehidupan dan kepada setiap manusia di muka bumi ini. Islam telah mengajar kita untuk menyingkapi perbezaan yang berlaku dengan mempamerkan akhlak mulia, berpegang kepada hujah dan nasihat yang baik serta berusaha sepenuhnya untuk mengelakkan daripada berlakunya perpecahan di dalam masyarakat yang berbilang kaum di dalam sebuah negara yang aman dan merdeka. Allah SWT berfirman:
"Serulah ke jalan Tuhan kamu (wahai Muhammad) dengan hikmah dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang kamu serukan itu) dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Tuhan kamu, Dialah yang lebih mengetahui tentang sesiapa yang tersesat daripada jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang yang mendapat hidayah petunjuk." (QS Al – Nahl: 125).
Sumber: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)
Comments
Post a Comment