Hampir semua negara di Rantau Timur Tengah mempunyai populasi masyarakat Syiah. Sama ada mereka menjadi majoriti dalam negara ataupun minoriti. Termasuklah di Malaysia yang turut mempunyai kelompok Syiah dalam kuantiti yang banyak pada suatu ketika dahulu meskipun kelompok tersebut masih dalam kategori minoriti berbanding kelompok Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi pegangan majoriti masyarakat Malaysia.
Namun, sama ada ia populasi majoriti atau minoriti dalam negara, soal keselamatan tidak bergantung kepada angka. Desakan yang berterusan ke atas kumpulan minoriti juga sebenarnya mampu mewujudkan fenomena yang disebut sebagai ‘the concept of stress’ atau mewujudkan tekanan ke atas kumpulan minoriti akibat dari keperluan asas yang tidak dipenuhi seperti kebebasan bersuara dan kebebasan keselamatan sehingga kelompok ini akan menterjemahkan protes di luar demokrasi.
Kegagalan mengawal konflik antara Sunni-Syiah dikhuatiri boleh mengundang ketidakstabilan dalam negara. Perbezaan fahaman yang wujud di antara dua fahaman ini membuka ruang yang luas untuk bertelagah dan berbeza pandangan. Hampir tiada ruang untuk diserasikan kerana pegangan akidah yang berbeza. Nampak sahaja serupa mempunyai Tuhan yang sama iaitu Allah SWT, namun Syiah sebenarnya jauh terpesong dari ajaran Islam yang sebenar. Contohnya, mereka mengeji para Sahabat Nabi SAW dan hanya memuja Ali, berlainan dengan Sunni yang selari dengan Nabi SAW yang menganggap Sahabat baginda sebagai pemimpin serta manusia yang bertakwa dan Sahabat yang menjadi ikutan selepasnya.
Justeru itu, usaha yang berterusan adalah perlu untuk membendung fahaman Syiah dari terus tersebar di negara ini. Isu melibatkan agama sangat sensitif di Malaysia, apatah lagi apabila ia melibatkan agama Islam. Kehadiran Syiah dikhuatiri boleh menggugat nilai teras negara sedia ada iaitu keharmonian agama Islam dan perpaduan rakyat yang beragama Islam di Malaysia. Syiah juga telah difatwakan sesat, maka tetaplah berpegang teguh pada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Sumber: Journal of Social Sciences and Humanities, Vol.13(3) – Universiti Kebangsaan Malaysia
Comments
Post a Comment