Ramai di antara kita pada hari ini mempunyai sifat taksub yang melampau terhadap sesuatu perkara ataupun seseorang. Taksub merupakan sikap yang melampaui batas kesederhanaan dan keseimbangan yang diajarkan dalam Islam. Taksub boleh membawa kepada perpecahan, konflik, bahkan penyelewengan dari ajaran agama yang sebenar. Apa yang perlu kita tahu adalah Islam melarang umatnya daripada fanatik atau taksub terhadap sesuatu perkara ataupu individu. Firman Allah SWT:
“Katakanlah (wahai Muhammad) Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau dalam agama kamu secara yang tidak benar dan jangan lah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul.” (QS Al – Maidah: 77).
Agama Islam mengajar kita untuk setia dengan kebenaran sahaja yang ditimbang dengan al-Quran dan al-Sunnah, bukan dengan individu ataupun perkara – perkara tertentu. Sikap taksub seperti ini akan membuka ruang kesesatan dan penyelewengan daripada jalan yang benar kerana mengikuti seseorang itu secara buta dan akhirnya menyebabkan kerosakan kepada agama dan umat. Rasulullah SAW bersabda:
“Celakalah orang yang melampaui batas (Baginda menyebutnya sebanyak tiga kali).” (HR Muslim).
Kesan taksub yang boleh kita lihat secara nyata adalah mendatangkan kesan buruk kepada masyarakat seperti melumpuhkan fungsi akal dan menjumudkan kefahaman serta pemikiran sehingga tidak dapat menilai maslahah umum. Golongan dilanda gejala taksub tidak bersedia mengadakan perbincangan untuk menegakkan hujah berpandukan dalil sahih sebaliknya menolak mentah-mentah pandangan berbeza.
Oleh itu, hendaklah kita mengambil tindakan yang rasional dan tidak bersikap fanatik dan taksub secara membuta-tuli sehingga melebihi daripada apa yang sepatutnya dilakukan. Berpeganglah kepada kebenaran, kerana dengan kebenaran sahajalah yang akan menjadikan kita waras akal fikiran.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment