Sejak kebelakangan ini, media sosial dibanjiri amaran tentang kewujudan akaun-akaun yang menawarkan ‘kerja fotografi’ dengan bayaran lumayan yang dinamakan sebagai ‘Upskirt Melayu’. Modus operandinya mudah, tawarkan sesi bergambar berkonsepkan ‘artistic photography’ termasuk ‘upskirt’, pakaian dalam dan ‘pose’ sensitif dengan alasan muka akan ditukar menggunakan teknologi AI. Sasaran utama adalah gadis-gadis Melayu muda, termasuk yang masih belajar.
Modus operandi:
1. Umpan gaji tinggi – RM 500 ke atas untuk satu sesi, konon sebagai pendapatan sampingan mudah;
2. Janji privasi dan keselamatan – menggunakan AI untuk menggantikan muka, agar mangsa rasa tidak takut;
3. Pendekatan mesra dan mesra budaya – menggunakan nama akaun berunsur Melayu untuk meraih kepercayaan kumpulan yang disasarkan.
Hakikatnya, gambar tubuh sebenar tetap diambil. AI hanya memanipulasi wajah, tetapi bentuk badan, tanda lahir atau ciri-ciri fizikal mangsa masih boleh dikenal pasti. Lebih parah, imej ini berpotensi disalah guna, dijual atau menjadi bahan lucah di pasaran gelap.
Di sinilah bahayanya pemikiran liberal yang memisahkan nilai agama daripada tindakan. Ada yang merasionalisasikan tawaran ini dengan alasan:
- “bukan dedah muka pun..”, “kerja seni, bukan lucah..”, “asal dapat duit, tak salah..”
Sedangkan dari sudut hukum Islam, membuka aurat dengan sengaja untuk tujuan hiburan atau komersial adalah haram. Ia termasuk dalam perbuatan ‘tabarruj’ dan ‘fahisyah’ yang ditegah, walaupun dilakukan secara suka sama suka dan diberikan ganjaran wang.
Apa yang lebih membimbangkan, mereka berani untuk membuat penggambaran ini di tempat awam dan mewujudkan ‘group’ secara terang-terangan di sosial media. Oleh sebab itu, dari sudut undang-undang juga, golongan terlibat ini boleh didakwa di bawah Kanun Keseksaan Seksyen 509, Seksyen 292 dan Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 jika didapati bersalah.
Justeru itu, jangan terpedaya dengan tawaran lumayan sehingga sanggup menggadaikan maruah dan agama. Trend ‘upskirt melayu’ ini bukan sahaja perangkap jenayah, malah trend ini bukan ‘halal’ atau ‘artistic’, ia adalah bentuk eksploitasi seksual. Jangan biarkan pemikiran liberal menghalalkan apa yang jelas diharamkan oleh syarak. Wang boleh dicari dengan banyak cara, tetapi maruah diri yang tercalar sukar dipulihkan, apakan lagi akidah. Renung-renungkan.
Sumber: Tiktok Reina Lum dan Fatwa Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment