Bulan ini merupakan bulan kemerdekaan negara yang ke – 68. Seiring berjalannya waktu yang semakin maju, seharusnya kita sebagai Muslim meningkatkan lagi ketakwaan kepada Allah SWT dalam apa jua cara sekalipun. Ramai dalam kalangan masyarakat belum benar-benar bebas dari belenggu penjajahan pemikiran, nafsu, serta anasir negatif yang menyesatkan.
Merdeka jiwa merujuk kepada keadaan diri seseorang yang bebas daripada segala bentuk perhambaan selain Allah SWT. Ia meliputi kebebasan akal, hati dan perasaan daripada anasir yang mengikat, menyesatkan dan merosakkan. Insan yang memiliki jiwa merdeka akan sentiasa meletak kebenaran, keadilan, maruah dan ketakwaan sebagai asas hidup. Allah SWT berfirman:
"Wahai jiwa yang tenang (mutmainnah), kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan engkau reda dan diredai. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku. Dan masuklah ke dalam syurga-Ku." (QS Al – Fajr: 27 – 30).
Takwa bukan sahaja penting sebagai penentu hubungan dengan Allah SWT, malah takwa juga berperanan membentuk gaya fikir dan tindak seseorang Muslim. Orang yang bertakwa akan bersungguh-sungguh melakukan perkara kewajipan dalam agama. Mereka yang bertakwa juga akan bersungguh-sungguh menjaga hubungannya dengan manusia lain atas dasar tanggungjawab kepada Yang Maha Esa. Inilah yang akan menerbitkan sebuah nilai peribadi jati diri yang penting iaitu ikhlas. Firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar ketakwaan dan janganlah sekali-kali kamu mati kecuali kamu sebagai seorang muslim.” (QS Ali ‘Imran: 102).
Jalan menuju ketakwaan kepada Allah memerlukan kepada adanya ilmu pengetahuan, kehendak serta keinginan yang kuat, selain itu menuntut adanya tindakan sungguh-sungguh, serta ketulusan hati. Takwa juga merupakan sebaik-baik bekalan yang mesti disediakan bagi orang yang beriman dan sebaik-baik pakaian yang mesti dipakai. Takwa juga akan membukakan pintu-pintu barakah dari langit dan bumi, menyinari jalan-jalan kepada orang yang beriman, dari keampunan dan kemudahan serta diberikan daripada yang tidak disangka-sangka dan memberi jalan keluar daripada kesulitan dan kesusahan.
Mukmin yang bertakwa akan sentiasa menjaga adabnya dengan Allah SWT dan memelihara akhlaknya sesama manusia. Takwa melahirkan integriti dan ikhlas dalam bermuamalat. Integriti akan membentuk jati diri mukmin sebenar yang jujur dalam tindakan, berani kerana benar serta berprinsip dalam hidup. Mukmin yang bertakwa akan berhati-hati dalam bicara dan kata-katanya. Integriti yang ada dalam diri akan menghalangnya daripada berkata dusta, apa lagi menyebarkan perkara-perkara dusta yang boleh mengelirukan orang lain.
Sumber: Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM)
Comments
Post a Comment