AMALAN KHURAFAT KETIKA GERHANA UNDANG SYIRIK

 


Fenomena alam merupakan salah satu tanda kekuasaan Allah SWT yang seringkali menimbulkan rasa kagum kepada manusia termasuklah kejadian gerhana bulan yang berlaku pada tengah malam hingga awal pagi 8 September lalu. Dari sudut sains, fenomena ini dapat dijelaskan melalui peredaran jasad-jasad di langit. Begitu juga dari sudut Islam yang menerangkan hikmah dan amalan ketika berlakunya gerhana tersebut.

Namun, terdapat juga golongan manusia yang masih berpegang kuat dengan ritual dan amalan yang disifatkan khurafat bagi Islam dengan tujuan untuk menolak unsur jahat ketika gerhana. Antaranya, ketika bulan gerhana penuh atau bulan bertukar menjadi merah, terdapat sebahagian kecil masyarakat yang wajib melakukan upacara atau ritual korban nyawa. Bagi mereka, istilah bulan berdarah (blood moon) itu sendiri membawa makna darah atau nyawa perlu dikorbankan sebelum malapetaka akan berlaku jika tidak berbuat demikian.

Ada juga amalan mengetuk pokok ketika gerhana berlaku. Tujuannya untuk membuatkan pokok tidak ‘tidur’ ketika gerhana berlaku dan ‘semangat’ pokok tidak hilang hingga boleh menyebabkan pokok mengeluarkan hasil yang sedikit. Sebahagian yang lain turut mempercayai apabila bulan merah itu bertukar menjadi kuning, mereka mentafsirkan bahawa bulan tersebut sedang sakit.

Walau bagaimanapun, dengan tersebarnya ajaran agama Islam yang betul dalam masyarakat serta peningkatan kefahaman melalui ilmu sains menyebabkan kisah dongeng dan amalan khurafat tersebut mula ditinggalkan. Masyarakat mula terdidik mengenai fenomena gerhana menurut ilmu sains, falak dan ajaran Islam. Dalam Rukun Islam sendiri ilmu falak ini merangkumi semua rukun. Melalui fenomena alam dan ilmu-ilmu Islam tersebut, secara tidak langsung umat Islam mendapat kefahaman mengenai keesaan Allah SWT sebagai Tuhan yang mentadbir dan menguruskan keseluruhan ala mini.

Sumber: Sinar Islam Plus dan Persatuan Peminat Ilmu Falak Islam Perak– 12 SEP 2025


Comments