BERSOLIDARITI JANGAN SAMPAI TERBAWA EMOSI

 


Rakyat Malaysia hari ini masih lagi berjuang demi keadilan. Laungan #JusticeForZara kini semakin bergema di seluruh pelosok tanah air. Namun, dalam kita bersolidariti, jangan sampai kita pula terbawa emosi yang berlebihan. Apabila emosi menguasai ruang dan wacana umum, maka keadilan mula ditenggelamkan. Kita jangan lupa bahawa Malaysia ialah sebuah negara hukum. Undang-undang ada jalannya. Keadilan ada prosesnya. Ia tidak boleh digantikan dengan komen di semua platform media sosial. 

Banyak kita lihat pada hari ini kecenderungan masyarakat menjadikan kisah kesedihan individu sebagai bahan advokasi awam, yang akhirnya membawa kepada penghukuman terbuka tanpa proses keadilan yang sewajarnya. Ini satu tindakan yang salah! Bayangkan jika orang ramai boleh menghukum sesiapa sahaja hanya berdasarkan cerita sebelah pihak, tanpa soal siasat, tanpa bukti sahih, tanpa ruang mempertahankan diri. 

Dalam kehidupan ini, bukan semua perkara yang kita mahukan boleh diselesaikan dengan emosi. Satu keputusan yang dibuat dalam keadaan emosi boleh merosakkan kepercayaan, hubungan, malah masa depan kita. Inilah sebabnya Islam mengajarkan kepentingan mengawal emosi dan belajar untuk tenang dalam menghadapi ujian hidup. Sabda Rasulullah SAW:

"Orang yang kuat bukanlah yang mampu mengalahkan orang lain, tetapi orang yang mampu menahan dirinya ketika marah." (HR Bukhari dan Muslim).

Kekuatan sebenar bukan terletak pada fizikal, tetapi pada kemampuan kita untuk mengawal amarah. Dalam keadaan tenang, kita lebih mampu berfikir secara rasional dan mengelakkan tindakan yang membawa penyesalan. Memang benar, semua orang mahukan keadilan buat Zara Qairina, namun tindakan yang disertakan dengan emosi ini hanya akan merugikan diri sendiri. Ambil iktibar dari kejadian seorang guru Bahasa Inggeris yang menyebarkan sebuah video kononnya memperlihatkan Zara Qairina dibuli di dalam mesin basuh walhal perkara itu sama sekali tidak tepat dan fitnah. Apa terjadi? Beliau ditahan dan didakwa di mahkamah. Adakah kerana terlalu emosi kita mahu menjadi seperti itu?

Bersolidaritilah secara sihat dan bukannya secara emosi. Selalulah mendoakan semoga keadilan ditegakkan dan tidak ada lagi ‘Zara Qairina’ yang kedua, ketiga dan seterusnya. Hapuskan gejala buli untuk masa depan negara yang lebih cerah. Biarlah proses perundangan menjalankan hukuman. Yang bersalah tetap akan menanggung akibatnya. Jangan kita menjadi “sudu lebih daripada kuah” dalam proses perundangan ini hanya kerana mahu tegakkan keadilan dengan tangan kita sendiri.

Sumber: Facebook Kuliah Agama


Comments