Agama merupakan salah satu keperluan manusia sejak dari manusia pertama diciptakan iaitu Nabi Adam AS. Kepercayaan kepada Tuhan sudah bermula sejak awal kejadian manusia. Namun begitu, fahaman menolak kewujudan Tuhan telah mula timbul dalam kalangan ahli falsafah Yunani. Berikutan peredaran zaman dan kemajuan teknologi telah menularkan fahaman sesat ini sehingga ke dalam masyarakat Melayu-Islam di Malaysia.
Corak pemikiran golongan ateis di Malaysia adalah hasil daripada kecelaruan mereka terhadap beberapa konsep agama yang asas iaitu berkaitan pembuktian kewujudan Tuhan, keadilan Tuhan, kehidupan selepas mati, kewujudan syurga dan neraka serta persoalan-persoalan ranting kepada soalan pokok agama yang berkaitan dengan pembuktian kewujudan agama daripada aspek saintifik dan logik. Hasil daripada kajian, mendapati ramai daripada kalangan Muslim Malaysia berpegang kepada fahaman ateis kerana tidak bertemu dengan jawapan kepada persoalan-persoalan berkaitan konsep ketuhanan yang membuatkan mereka berputus asa terhadap agama Islam.
Tindakan kelompok ateis Melayu ini dilihat telah mencabar perlembagaan negara yang menetapkan bahawa orang Melayu adalah penganut agama Islam. Berdasarkan ideologi yang dipegang oleh golongan ateisme ini menunjukkan bahawa akidah mereka telah terbatal dengan menolak perkara yang asas iaitu keimanan terhadap Allah SWT dan menolak keimanan terhadap kitab suci. Penjajahan Komunis di Tanah Melayu juga merupakan antara faktor utama terhadap pemikiran ateisme dalam kalangan segelintir masyarakat Melayu sehingga berjaya mengasaskan gerakan ateis Melayu dalam media sosial.
Diharapkan wacana ini dapat memberikan pendedahan kepada masyarakat bahawa terdapat golongan ateis dalam kalangan orang Melayu yang sinonimatau berselindung di sebalik ‘topeng’ penganut agama Islam di Malaysia. Justeru itu, semua pihak sama ada individu, masyarakat dan pihak berkuasa perlu bekerjasama mengikut bidang kuasa masing-masing untuk menjalankan pelbagai usaha bagi menangani isu pemikiran menolak Tuhan, sebelum pemikiran ateisme ini berkembang dalam kalangan umat Islam di Malaysia.
Sumber: Jurnal Islam dan Masyarakat Kontemporari, Vol 24(2) – Universiti Sultan Zainal Abidin
Comments
Post a Comment