Dalam era digital yang penuh dengan kepantasan maklumat, budaya menuding jari dan menyalahkan orang lain atas kesilapan semakin berakar umbi dalam masyarakat. Namun, hakikatnya ia hanyalah perbuatan lari daripada tanggungjawab yang kononnya menjadi mekanisme mempertahankan diri dan bebas daripada menanggung kesalahan. Antara contoh yang paling ketara adalah alam kes kematian tragik pelajar tingkatan satu, di Sabah.
Tanpa sempat siasatan menyeluruh, tular pelbagai teori di media sosial - keaiban, pengabaian dan campur tangan individu tertentu. Meskipun belum ada bukti kukuh, spekulasi mula berkembang biak. Sebagai seorang Muslim, kita tidak boleh berfikiran buruk dan menghukum kecelakaan ke atas orang lain kerana hukum berkenaan mungkin akan berpaling kepada dirinya sendiri. Sabda Rasulullah SAW:
Jika ada seseorang berkata, “orang ramai (sekarang ini) sudah rosak”, maka orang yang berkata itu sendiri yang paling rosak di antara mereka.” (HR Muslim).
Imam Nawawi menjelaskan dalam kitab Riyadhus Salihin:
“Larangan semacam di atas itu (larangan berkata bahawa orang ramai telah rosak) adalah untuk orang yang mengatakan sedemikian tadi dengan tujuan rasa bangga pada diri sendiri sebab dirinya tidak rosak, dan dengan tujuan merendahkan orang lain dan merasa dirinya lebih mulia daripada mereka. Maka yang demikian ini adalah haram.”
Agama Islam melarang keras kita mencari-cari dan menyelidiki kesalahan orang lain kerana ianya satu perbuatan yang tercela dan amat dibenci Allah SWT dan RasulNya sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 12 yang bermaksud:
“Janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”
Dalam hal ini, umat Islam perlu memainkan peranan agar kita sama – sama dapat menangkis sifat seperti ini dari terus bermaharajalela di dalam diri:
1) Melatih diri untuk bermuhasabah dan jujur.
2) Sebarkan budaya ‘sahkan sebelum kongsi’ (tabayyun). Ayat ini sangat relevan dalam dunia digital masa kini di mana berita palsu dan fitnah tersebar dengan mudah. Tabayyun adalah prinsip penting dalam Islam sebelum menyebarkan maklumat.
3) Tanam sifat tanggungjawab dalam pendidikan.
4) Berdoa agar diberi hidayah dan keteguhan hati. Doa yang diajarkan oleh Nabi SAW:
"Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan rezekikanlah kami mengikutinya; dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kami menjauhinya." (HR Ahmad).
Budaya menyalahkan orang lain bukan sahaja mencerminkan kelemahan jiwa, tetapi juga bertentangan dengan ajaran Islam yang menuntut kejujuran, amanah dan keberanian mengaku salah. Dunia ini akan lebih damai jika setiap individu mula melihat ke dalam diri sebelum menuding ke luar. Seperti kata pepatah: "Satu jari menuding, empat jari menunding kembali kepada diri sendiri".
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Comments
Post a Comment