HIKMAH TRAGEDI CHARLIE KIRK: ISLAM MENANGANI RETORIK PROVOKASI DAN KEBENCIAN DENGAN NARATIF YANG BIJAKSANA


Charlie Kirk adalah seorang aktivis dan pengulas konservatif dari Amerika Syarikat. Beliau sering menjadi tumpuan dunia kerana retoriknya kerap menyasarkan Islam dan umatnya dengan naratif provokatif dan sering kali tidak tepat, mudah tersebar luas di media sosial, mencetuskan pelbagai reaksi daripada masyarakat Islam di seluruh dunia.

Lantaran kematiannya pada 10 September 2025 ketika sedang berucap di sebuah acara di Utah Valley University, ada pendapat menyalahkan umat Islam yang mereka sifatkan sebagai teroris melakukan tembakan tersebut atas rasa dendam pada kenyataan-kenyataan provokatifnya. Hakikatnya, aktivitis konservatif dan pempengaruh politik Amerika Syarikat yang juga sekutu rapat Presiden Donald Trump, ditembak mati oleh Tylor Robinson, seorang pelajar jurusan elektrik tahun ketiga.

Tylor Robinson dibesarkan dalam keluarga Mormon yang konservatif iaitu penyokong tegar Donald Trump. Namun, Robinson menjadi taksub terhadap politik dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan telah menyatakan ketidaksukaan terhadap Charlie Kirk sehingga sarung peluru yang dipercayai sebagai senjata pembunuhan turut diukir dengan frasa “Hey farcist! Catch!”

Tangkapan ini menolak terus teori konspirasi orang Islam dalam pembunuhan aktivis tersebut, malah memberi mesej bahawa umat Islam yang berpegang dengan ajaran yang betul tidak semberono melakukan tindakan keganasan, malah mempunyai cara terbaik yang lain untuk bertindak balas terhadap serangan pemikiran dan provokasi sebegini. Antaranya adalah:
i. Memperkasakan diri dengan ilmu;
ii. Menyokong dan mengetengahkan para ilmuwan dan cendiakawan Islam yang mampu berhujah secara intelektual di pentas global.

Justeru itu, cabaran yang datang daripada suara-suara provokatif seperti Charlie Kirk bukanlah sesuatu yang perlu ditakuti, tetapi perlu diurus dengan kebijaksanaan, penuh hikmah dan nasihat yang baik, selaras dengan perintah Allah SWT dalam Surah al-Nahl, ayat 125. Respons tidak seharusnya bersifat reaktif dan emosional, tetapi proaktif dan strategik. Kekuatan sejati seorang Muslim tidak terletak pada lantangnya suara ketika marah, tetapi pada dalamnya ilmu, kukuhnya hujah dan indahnya peribadi yang mencerminkan cahaya Islam itu sendiri.

Sumber: BBC, Buletin TV3, Harian Metro dan Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia –SEP 2025


 

Comments