HUKUM KAUM WANITA MENYERTAI MISI FLOTILA KE P4L3ST!N ADALAH HARUS - JANGAN PERTIKAI, CUKUP SEKADAR MENDOAKAN KESELAMATAN
Mutakhir ini, terdapat perdebatan di media sosial antara netizen di negara ini berkenaan hukum kaum wanita menyertai misi Global Sumud Flotila ke P4l3st!n baru – baru ini. Ramai yang mempertikaikan penglibatan kaum wanita yang antaranya sudah mempunyai keluarga menyertai misi ini dan mempersoalkan keutamaan mereka yang sepatutnya mendahului keperluan keluarga berbanding menyertai misi ini.
Bagi menjawab persoalan tersebut, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan melalui Irsyad Hukum Siri Ke – 929 menjawab persoalan tersebut. Menjawab kepada persoalan tersebut, hukum bagi wanita keluar berjihad di luar negaranya adalah tidak wajib. Namun begitu, pada zaman hari ini terdapat keperluan dan hajat yang memerlukan penglibatan wanita contohnya dalam membantu wanita lain yang berada dalam keadaan peperangan. Sumbangan dan peranan mereka dalam pelbagai aspek yang lain dalam membantu kejayaan sesuatu misi jihad merupakan suatu perkara yang dituntut dan terpuji. Hal ini dengan berdasarkan garis panduan dan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syarak.
Hukum penyertaan wanita dalam flotila ini adalah harus dan tidak salah untuk terlibat. Lebih-lebih lagi dalam situasi rakyat P4l3st!n yang cukup terdesak dalam mengharapkan pertolongan dan bantuan daripada sesiapa pun yang sanggup menempuhi cabaran. Setiap daripada kalangan orang yang beriman sentiasa mencari peluang untuk berjihad bagi memperoleh keredaan Allah SWT dan ganjaran yang dijanjikan tersebut. Allah SWT berfirman:
“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.” (QS At – Taubah: 111).
Menurut Syeikh Yusuf al-Qaradawi menerusi kitabnya Fiqh al-Jihad, peranan wanita dalam jihad di zaman moden ini adalah luas dan fleksibel memandangkan jihad tidak lagi hanya berkait dengan kekuatan jasmani semata-mata, tetapi juga memerlukan keupayaan akal yang cerdas dan kemahiran. Bahkan dilihat juga pihak musuh turut memanfaatkan peranan wanita dalam kekuatan ketenteraan mereka bersama dengan kaum lelaki. Kata Syeikh Yusuf al-Qaradawi:
“Kami berkeyakinan bahawa wanita muslimah, dengan semangat juang dan keberanian mereka, mampu untuk memberikan sumbangan dalam membantu tentera-tentera Islam lebih daripada sekadar memberi pertolongan dan rawatan. Kami telah melihat wanita-wanita di Palestin telah mempertaruhkan nyawa mereka dalam misi-misi syahid yang dapat dijadikan contoh.”
Berikut merupakan garis panduan penglibatan wanita dalam usaha jihad seperti yang dilihat pada hari ini:
1) Hendaklah melaksanakan peranan yang signifikan selain daripada berperang seperti menyampaikan bantuan makanan, ubat-ubatan serta keperluan asasi yang sangat diperlukan dalam usaha jihad.
2) Memastikan keselamatan dan keamanan dalam melaksanakan usaha tersebut terjamin dan dilindungi oleh organisasi yang tersusun dan mempunyai hubungan dengan pihak-pihak yang bertanggungjawab seperti pemerintah dan kerajaan.
3) Menutup aurat dan memelihara maruah diri daripada sebarang perkara yang menimbulkan fitnah.
Walaupun tiada kewajipan untuk kaum wanita terlibat mengangkat senjata dalam peperangan jihad, namun sumbangan dan peranan mereka dalam pelbagai aspek yang lain dalam membantu kejayaan sesuatu misi jihad merupakan suatu perkara yang dituntut dan terpuji seperti yang pernah dilakukan oleh Saidatina Aisyah RA dan Ummu Sulaim dalam peperangan Uhud. Sebagai umat Islam, janganlah kita sesekali mempersoalkan tindakan mereka dan cukup mendoakan keselamatan mereka selamat pergi dan juga selamat kembali. Mereka pergi dalam mendapat keredhaan daripada suami dan keluarga, itu juga merupakan keredhaan daripada Allah SWT, wallahualam.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment