HUKUM ORANG BUKAN ISLAM MENTAFSIR AYAT AL-QURAN

 


Al-Quran merupakan kalamullah yang membawa mesej-mesej dakwah dengan mendatangkan bukti-bukti kekuasaan Allah SWT dan kebenaran Islam kepada manusia menuju jalan yang benar. Islam juga sentiasa membuka ruang dan peluang kepada mana-mana pihak termasuk golongan bukan Islam untuk mempelajari, mendengar, memahami dan mendalami ajaran Islam melalui bacaan al-Quran dan terjemahannya. Namun, semenjak kebelakangan ini, terdapat banyak salah faham dalam kalangan orang bukan Islam terhadap pembacaan dan penafsiran al-Quran. 

Apakah hukum orang bukan Islam membaca dan mentafsir al-Quran?

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia telah memutuskan bahawa sekiranya ia bertujuan untuk mempelajari, memahami dan mendekatkan diri kepada ajaran Islam, Islam tidak pernah menghalang mana-mana pihak termasuk bukan Islam untuk membaca dan mendalami teks-teks suci Islam termasuk al-Quran dan tafsirannya.

Namun, ia hendaklah dilakukan dengan jujur dan ikhlas bagi tujuan tersebut dan bukan untuk kepentingan dan tujuan tertentu atau peribadi, apatah lagi jika ia dilakukan dengan kesalahan sama ada pembacaan atau huraiannya yang menyimpang kerana perbuatan tersebut boleh mencemarkan kesucian al-Quran dan Islam sekaligus menimbulkan keraguan, keresahan dan fitnah kepada masyarakat.

Adakah ahli politik bukan Islam boleh menggunakan ayat al-Quran di dalam hujahnya?

Ahli-ahli Muzakarah sebulat suara berpendapat bahawa tindakan pemimpin-pemimpin politik bukan Islam menggunakan teks suci Islam termasuk al-Quran secara sewenang-wenangnya dan tidak menepati maksud yang sebenar di ceramah-ceramah politik, tidak menunjukkan ciri-ciri keikhlasan dan kejujuran yang sebenarnya bagi mempelajari Islam dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Oleh itu, perbuatan tersebut boleh mendatangkan penghinaan berterusan terhadap kesucian Islam khususnya al-Quran sekiranya dibiarkan. Selain itu, ia juga boleh mendatangkan keraguan dan fitnah di dalam masyarakat.    

Adalah satu pembohongan jika golongan bukan Islam tersebut menyatakan mereka membaca dan menterjemahkan ayat suci al-Quran kerana berdakwah. Lebih disesalkan apabila perbuatan tersebut diperakui oleh sesetengah ahli-ahli politik yang beragama Islam demi mempertahankan fahaman politik mereka dan meraih simpati pengikutnya.

Kesimpulan

Justeru itu, semua lapisan masyarakat tanpa mengira masyarakat awam mahupun pemimpin politik perlu hormati keputusan fatwa yang dikeluarkan. Masyarakat bukan Islam seharusnya mengelak daripada menukilkan ayat al-Quran atau terjemahannya dalam percakapan atau dengan tujuan menyokong hujah-hujah tertentu, dikhuatiri ia berada di luar konteks daripada maksud sebenar yang dikehendaki ayat tersebut, seterusnya supaya dapat menghindari kekeliruan dan perbalahan dalam kalangan masyarakat.

Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia- SEP 2025, Jabatan Mufti Negeri Selangor


Comments