IKTIBAR INSIDEN RUSUHAN DI INDONESIA - SYUKUR NEGARA MASIH AMAN DI BAWAH PENTADBIRAN DEMOKRASI



Insiden rusuhan di Indonesia baru – baru ini yang memakan berberapa korban jiwa masyarakat negara tersebut telah memicu simpati dunia. Rusuhan dikatakan berpunca daripada ketidakpuasan hati rakyat terhadap pelaksanaan pentadbiran negara termasuk kenaikkan cukai dan gaji Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) yang tidak masuk akal. Emosi rakyat negara serambi mekah itu bertambah marak apabila seorang penghantar makanan dilanggar hingga maut oleh kenderaan polis saat demonstrasi diadakan. 


Sementara di Malaysia, rakyat seharusnya melahirkan rasa syukur kerana keamanan dan keharmonian masih lagi diamalkan di negara ini. Walaupun ada sedikit ketegangan yang berlaku, namun keadaan masih lagi terkawal dan rakyat masih boleh hidup aman damai. Kita bertuah kerana rakyat di Malaysia terutamanya yang terdiri daripada berbilang kaum, agama dan bangsa mengamalkan nilai saling memahami, bertolak ansur dan berfikiran terbuka dengan setiap anggota masyarakat. Allah SWT berfirman:


“Dan (ingatkanlah mereka wahai Muhammad), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: "Wahai kaumku! Kenanglah nikmat Allah (Yang diberikan) kepada kamu ketika Ia menjadikan dalam kalangan kamu beberapa orang Nabi, dan Ia menjadikan kamu bebas merdeka (setelah kamu diperhamba oleh Firaun dan orang-orangnya), dan Ia memberikan kepada kamu barang yang tidak pernah diberikan kepada seseorang pun dari umat-umat (yang ada pada masa itu)." (QS Al – Maidah: 20).


Dalam konteks kesyukuran terhadap nikmat Allah SWT ini, secara realitinya kita dapat bandingkan dengan negara lain seperti yang terpapar di dalam televisyen dan akhbar jelas tergambar akan pelbagai bala bencana dialami manusia. Mensyukuri nikmat kemerdekaan dan tidak mengkufurinya bererti kita memanfaatkan segala anugerah Allah SWT dengan turut serta mengisi kemerdekaan iaitu melakukan kerja-kerja yang bermanfaat dalam melestarikan pembangunan fizikal dan pembangunan rohani, sebagaimana yang digariskan dalam wawasan negara. Kestabilan ekonomi, kekayaan hasil bumi dan kebebasan rakyat mencari rezeki di setiap inci muka bumi kita merupakan anugerah Allah SWT dan kita wajib bersyukur. Firman Allah SWT:


``Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat kepada kamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.'' (QS Ibrahim: 7).


Nikmat keamanan ialah anugerah yang meletakkan manusia dalam keadaan tenteram, sejahtera dan seimbang secara zahir dan batin. Keamanan bukan sekadar tiadanya peperangan, bahkan merangkumi kebebasan menjalani kehidupan tanpa gangguan, ketakutan atau ancaman, baik secara fizikal mahupun psikologi. Bersyukurlah kerana negara ini ditadbir mengikut Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan nilai demokrasi dalam pemerintahan. 


Marilah kita mempertahankan benteng keamanan dengan lidah yang benar, hati yang bersih, akal yang bijak dan iman yang kukuh. Semoga Malaysia terus dilimpahi nikmat aman, makmur dan sejahtera di bawah naungan rahmat Allah SWT.


Sumber: Portal Al Falah Madani





Comments