Aktiviti ‘counter setting’ yang membabitkan pegawai Jabatan Imigrisen di pintu masuk negara sama ada di lapangan terbang, pelabuhan mahupun sempadan darat semakin mendapat perhatian masyarakat susulan pembongkaran penangkapan beberapa anggotanya yang ditangkap salah laku. Lebih membimbangkan apabila wujudnya rangkaian kartel dalam kalangan pegawai imigrisen senior merekrut pegawai baharu menyertai aktiviti terbabit bagi meraih habuan lumayan.
Perbuatan tidak bermoral ini boleh disifatkan sebagai kegiatan subversif kerana melakukan penyeludupan warga asing secara sistematik melalui pintu masuk sah dengan bantuan sindiket dan orang dalam mengatur kelulusan imigresen palsu. Bayaran dikenakan kepada individu tertentu yang ingin memasuki negara tanpa melalui prosedur saringan standard, termasuk tapisan aspek keselamatan dan kesihatan.
Kegiatan ini bukan sahaja melanggar undang-undang imigrisen, malah turut mencabar kedaulatan negara. Tanpa sedar, rentetan aktiviti ‘counter setting’ ini boleh membuka ruang kepada pelbagai ancaman lain seperti jenayah rentas sempadan, pemerdagangan manusia serta potensi penyusupan elemen ekstremis.
Menghentikan ancaman kegiatan ini menuntut keberanian politik, komitmen antara agensi dan ketelusan pelaksanaan undang-undang. Jika dibiarkan, kegiatan ini akan menjadi virus yang merosakkan sistem keselamatan negara dari dalam.
Sedarlah bahawa, isu ‘counter setting’ ini bukan sekadar isu imegrisen, isu keselamatan dan integriti, bahkan ianya melibatkan kedaulatan negara yang cuba dicabar oleh pihak berkuasa sendiri yang sepatutnya menjalankan amanah menjaga benteng keselamatan negara.
Sumber: Berita Harian – 19 SEP 2025
Comments
Post a Comment