KONSEP “GENDERLESS” SEMAKIN MENULAR PEMANTAUAN TERHADAP PENGARUH MEDIA SOSIAL PERLU DIPERTINGKATKAN




 Malaysia mempunyai majoriti penduduk Islam paling ramai di negara ini dan kerana itulah di dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Islam sebagai Agama Persekutuan Rasmi negara. Namun, apa yang akan terjadi sekiranya umat Islam di negara ini memilih untuk menjadi ‘bebas’? ‘Bebas’ dari pemikiran agama dan ‘bebas’ melakukan apa sahaja ke atas tubuh badan mereka hingga mengiktiraf diri mereka sebagai ‘genderless’ (tanpa jantina)?


Benar, itulah fenomena yang terpaksa dihadapi oleh umat akhir zaman di mana sekelompok manusia mengamalkan konsep ‘genderless’. Apa itu ‘genderless’? Ia bermaksud seseorang itu tidak mengaitkan dirinya dengan mana-mana jantina (tidak lelaki dan tidak juga perempuan). Fahaman ini lahir daripada ideologi gender fluidity yang berkembang pesat di negara Barat, dan kini mula menular ke dalam masyarakat Islam melalui media sosial, filem, dan budaya pop. Dalam konteks moden, ini termasuk: 


1) Menolak identiti jantina yang ditentukan oleh biologi (lelaki/perempuan).

2) Menganggap jantina sebagai sesuatu yang "fleksibel", pilihan individu, atau bahkan tidak wujud langsung.


Namun, sudah tentu konsep ini tidak diterima di Malaysia dan negara – negara mempunyai penduduk Islam secara majoriti. Hal ini kerana dalam Islam jantina adalah ciptaan dan ketetapan Allah SWT, bukan satu pilihan manusia. Allah SWT berfirman: 


"Dan Allah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan..." (QS Al – Hujurat: 13).


Ayat ini jelas menunjukkan bahawa manusia diciptakan berpasangan: lelaki dan perempuan. Ini adalah ketetapan fitrah yang tidak boleh diubah atau dinafikan. Islam juga tidak mengiktiraf idea bahawa jantina boleh dipilih sesuka hati. Ini sebagaimana firman Allah SWT: 


"Dan (ingatlah) Aku (Allah) tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepada-Ku." (QS Az – Zariyat: 56).


Setiap jantina diberikan peranan dan tanggungjawab tertentu dalam ibadah dan masyarakat. Menolak jantina bererti menolak sebahagian daripada peranan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Islam melarang sebarang bentuk kekeliruan jantina, apatah lagi menafikan terus konsep jantina itu sendiri (genderless). Untuk itu, adalah sangat penting buat kita sebagai umat Islam menangkis konsep ini dari terus meresap ke dalam jiwa umat Islam khususnya para remaja belia. Apa yang boleh kita lakukan? 


1) Mendidik generasi muda tentang identiti jantina menurut Islam.

2) Menegaskan kepada mereka beza antara penciptaan dan pilihan — jantina adalah ciptaan, bukan pilihan.

3) Beri sokongan psikologi dan rohani kepada mereka yang keliru, bukan cercaan.

4) Sebarkan ilmu dengan hikmah, bukan kecaman.

5) Menyebarkan konten Islamik yang menarik dan relevan dalam mendidik mereka.

6) Melaporkan akaun atau konten yang songsang dan merosakkan minda umat Islam.

7) Mewujudkan komuniti maya yang saling menyokong. 


Konsep ‘genderless’ sangat bertentangan dengan fitrah dan syariah Islam. Islam mengiktiraf dua jantina: lelaki dan perempuan, yang masing-masing mempunyai martabat, peranan dan tanggungjawab tertentu. Sebagai umat Islam, kita perlu menolak ideologi songsang ini dengan ilmu, kasih sayang dan pendekatan yang berhikmah, sambil terus mendidik masyarakat tentang nilai murni fitrah yang ditetapkan Allah SWT.


Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Comments