MENANGANI ISLAMOFOBIA MELALUI HIKMAH: KISAH PENERBIT BRITISH MELIHAT AYAT AL-QURAN DI VAN JENAZAH


Seorang penerbit filem British iaitu Charles Dobara menarik perhatian umat Islam tatkala beliau berjaya menerangkan secara jelas dan ringkas makna disebalik Surah al-Baqarah, ayat 156, yang tertera di van jenazah. Lazimnya, van jenazah umat Islam yang berfungsi membawa mayat ke kawasan perkuburan akan tertera ayat tersebut yang menerangkan mengenai bagaimana kehidupan kita bermula dari Allah SWT dan kembali kepada Allah SWT.

Dobara yang begitu kagum melihatnya pada sebuah van jenazah yang dipercayai di England menerangkan makna ayat tersebut “Daripada Allah kita datang, kepada Allah kita kembali” dalam satu hantarannya meskipun beliau bukanlah seorang Muslim. Menurutnya penerangan tersebut itu bertujuan untuk membantu warga tempatan yang berasa tidak selesa setiap kali ternampak van jenazah di jalanan yang mempunyai tulisan Islamik (tulisan Arab) yang besar berlatar belakangkan warna hitam pada van.  

Penjelasan Dobara itu nyata memberikan kefahaman buat golongan bukan Islam, sekali gus membantu untuk mengurangkan rasa gerun warga Britain terhadap masyarakat Muslim di sana. Tindakan Dobara ini harus dipuji dan menjadi satu titik tolak pada persepsi Islamofobia terhadap agama dan umat Islam semakin menurun. 

Pengajarannya, meskipun sedikit sangat kebaikan atau tindakan yang dipamerkan semasa berada di tempat awam oleh seorang Muslim dengan niat menterjemahkan imej Islam, pasti ada hikmah tersembunyi disebaliknya yang berbalik bukan sahaja pada diri sendiri tetapi juga terpalit pada agama itu sendiri.

Justeru itu, teruslah melangkah di bumi Allah SWT ini dengan penuh hikmah, penuh adab dan ilmu kerana representasi yang di bawa itu memungkinkan hikmah pada agama dan hidayah pada seseorang yang tercari-cari keagungan Tuhan yang Esa. Renung-renungkan.

Sumber: majority.com.my- 17 SEP 2025


 

Comments