PENGISLAMAN DEMI PERKAHWINAN ATAU KERANA ALLAH?

 


Lafaz syahadah adalah satu ‘hijrah’ rohani dari kegelapan kepada cahaya, namun jika niat utamanya hanyalah untuk ‘mendapatkan’ pasangan, maka di manakah letaknya Allah SWT dalam ‘hijrah’ tersebut?

Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “…Dan sesiapa yang hijrahnya kerana dunia yang ingin diperolehinya atau kerana seorang wanita yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya (akan dinilai) mengikut apa yang diniatkannya.” [Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]

Imam Ghazali menyatakan bahawa ikhlas berlaku apabila niat seseorang dalam melakukan sesuatu amalan itu hanya mempunyai satu tujuan iaitu kerana Allah SWT, tanpa dicampuri oleh sebarang tujuan lain. Apabila niat untuk memeluk Islam itu bercampur-baur antara mencari keredhaan Allah SWT dan keinginan untuk berkahwin, maka kemurnian niat itu sudah tercalar. Walaupun perkahwinan itu sendiri adalah satu ibadah yang digalakkan, ia tidak boleh menjadi sebab utama yang mengatasi niat untuk tunduk dan patuh kepada perintah Allah SWT.

Justeru itu, menjadi tanggungjawab besar bagi pasangan Muslim untuk memastikan bahawa bakal suami atau isteri mereka yang ingin memeluk Islam benar-benar melakukannya atas dasar kefahaman dan keikhlasan. Perkahwinan boleh menjadi asbab atau pembuka jalan kepada hidayah, tetapi ia tidak boleh menjadi matlamat akhir pengislaman itu sendiri.

Bimbinglah mereka, perkenalkan keindahan Islam sebelum melafazkan syahadah, bukan selepasnya. Semoga setiap lafaz syahadah yang diucapkan lahir dari hati yang benar-benar tunduk dan ikhlas, membawa kepada kehidupan yang diredhai dan perkahwinan yang diberkati Allah SWT.

Sumber: Hidayah Centre Foundation


Comments