Satu pendedahan telah dilakukan oleh pendakwah mualaf terkenal, Firdaus Wong Wai Hung yang menyatakan bahawa terdapat seorang individu yang menawarkan perkhidmatan membantu Muslim untuk murtad dengan bayaran ribuan ringgit. Satu pendedahan yang amat mengejutkan dan mungkin gerakan ini bergerak dalam senyap untuk meracuni pemikiran umat Islam untuk keluar daripada agama mereka dan menjalani kehidupan dengan bebas tanpa perlu memikirkan larangan yang ditetapkan oleh ajaran Islam.
Kita sekarang berada di satu fasa akhir zaman yang sangat menakutkan di mana iman kita sebagai umat Islam diuji dengan sehebat – hebatnya. Maka di sini lah peranan utama kita untuk menjaga seutuhnya keimanan kita agar tidak terpesong daripada agama Islam. Ini seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:
"Akan datang kepada manusia suatu zaman, orang yang berpegang kepada agamanya seperti memegang bara api." (HR At – Tirmidzi).
Nasihat kepada umat Islam, marilah kita kembali kepada fitrah dan persiapkan benteng keimanan kita sebagai umat akhir zaman. Untuk memelihara iman dalam Islam, seseorang perlu memperbanyak amal soleh, seperti solat, berzikir, bersedekah, dan berpuasa. Penting juga untuk mengkaji dan mengamalkan Al-Quran, sentiasa mengingati Allah (zikrullah), dan menjauhi segala larangan-Nya serta maksiat. Selain itu, memperbaiki hubungan dengan Allah melalui doa dan menyematkan keyakinan kepada hari akhirat juga merupakan cara penting untuk menguatkan iman. Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah memberi peringatan menerusi sabdanya yang bermaksud:
"Bersegeralah beramal sebelum datang fitnah seperti potongan malam yang gelap." (HR Muslim).
Peliharalah Islam daripada dinodai oleh sebarang ajaran sesat mahupun khurafat atau bidaah yang akan mencacatkan kesempurnaan Islam. Jangan biarkan agenda jahat menguasai akal dan hati kita. Teruslah berpegang teguh dengan al – Quran dan Sunnah. Iman selamat, akhirat tidak melarat.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment