SAMBUTAN HARI MALAYSIA 2025 SUBURKAN RASA CINTA KEPADA TANAH AIR


Tahun ini merupakan tahun ke – 62 kita menyambut sambutan Hari Malaysia. Ia sebagai memperingati penubuhan persekutuan Malaysia dengan tarikh yang sama sejak tahun 1963. Pada hari ini, Sabah, Sarawak, dan Singapura secara rasmi bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu untuk membentuk negara Malaysia. Walaupun Singapura kemudiannya keluar dari Malaysia pada tahun 1965, tarikh ini tetap penting kerana ia menandakan permulaan Malaysia sebagai sebuah negara yang bersatu.

Menurut Islam, cinta kepada negara adalah suatu yang sunnah atau digalakkan dan boleh menjadi manifestasi iman, di mana umat Islam digalakkan untuk mentaati pemerintah, menjaga keamanan, menyumbang kepada pembangunan negara dan menghargai kemerdekaan dengan akhlak mulia. Islam tidak menafikan rasa kecintaan kepada tanah air. Bahkan, ia adalah fitrah semula jadi manusia untuk mencintai tempat lahir, membesar dan mencari kehidupan. Nabi SAW sendiri menunjukkan rasa cinta yang mendalam terhadap Makkah al-Mukarramah. Diriwayatkan bahawa ketika Rasulullah berhijrah meninggalkan Makkah, baginda bersabda yang bermaksud:

"Demi Allah, sesungguhnya engkau (wahai Makkah) adalah sebaik-baik bumi Allah dan tempat yang paling aku cintai. Kalaulah bukan kerana kaummu mengusirku daripadamu, nescaya aku tidak akan keluar (berhijrah)." (HR At – Tirmidzi).

Terdapat empat cara untuk kita boleh menunjukkan semangat kecintaan kepada negara:

1) Mentaati pemerintah selagi tidak bercanggah dengan syarak. Firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.” (QS An – Nisa: 59).
2) Menjaga keamanan dan keharmonian serta menghindari perbuatan yang boleh menimbulkan huru-hara.
3) Menyumbang tenaga, ilmu dan kepakaran untuk pembangunan negara.
4) Menghargai kemerdekaan dengan mengisi kehidupan melalui amal soleh, kerja keras dan akhlak mulia.
5) Menyemarakkan rasa syukur dengan memperbanyakkan doa agar negara terus aman dan sejahtera.

Patriotisme dalam Islam bukan sekadar slogan, tetapi ia adalah manifestasi iman melalui rasa cinta, tanggungjawab dan kesanggupan berkorban demi tanah air. Cinta kepada negara sebahagian daripada syukur atas nikmat Allah SWT kerana hanya dengan keamanan negara, umat Islam dapat beribadah, menuntut ilmu dan membangunkan masyarakat dengan sempurna.

Selamat Hari Malaysia! Malaysia MADANI, Rakyat Disantuni.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


 

Comments