SEORANG MUSLIM YANG BAIK SUMBER KETENANGAN BAGI MUSLIM YANG LAIN


Semakin dunia melangkah menuju era kemajuan dan pembinaan tamadun tinggi, masih wujud fenomena yang merendahkan martabat kemanusiaan. Lebih menyedihkan, fenomena ini tidak lagi berlaku secara terpencil, malah semakin marak dilaporkan di media massa dan media sosial. Antara contoh nyata yang boleh dikaitkan adalah pembulian dan ‘body shaming’.

Kedua-dua gejala ini bukan sahaja melanggar ajaran syariat Islam yang mengutamakan kasih sayang, berbuat baik dan hormat-menghormati, bahkan turut bertentangan dengan norma tradisi Melayu-Islam yang berasaskan adab, budi pekerti, kesopanan dan kesantunan. Sikap terbabit kadangkala lebih buruk daripada sifat kebinatangan kerana haiwan tidak terikat dengan peraturan dan perundangan secara khusus, tetapi masih mampu untuk menjaga kawanan masing-masing.

Sebagai seorang Muslim, kita sepatutnya menyelamatkan orang Islam lain daripada kejahatan diri waima dari segi lisan, tangan mahupun perbuatan. Ia sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis di mana Rasulullah SAW bersabda:

“Seorang Muslim (yang sempurna Islamnya) adalah (apabila) seseorang Muslim (yang lain) selamat daripada (keburukan) lidahnya dan tangannya, manakala seorang muhajir (yang berhijrah) ialah seseorang yang meninggalkan segala yang dilarang oleh Allah SWT.” (HR Bukhari).

Bagaimana cara terbaik untuk menghormati dan memuliakan manusia serta menjadikan mereka berasa selamat di kalangan kita? Rasulullah SAW mengingatkan bahawa tidak sempurna iman seseorang sehinggalah dia mencintai saudaranya sebagainya mencintai dirinya sendiri. Sabda Baginda:

“Barang siapa yang tidak menyayangi, dia tidak akan disayangi.” (HR Muslim).

Rasulullah SAW mengajar umatnya supaya menghormati orang lain dan konsep itu merupakan asas supaya berbuat demikian. Ingatlah, pembulian dan penderaan tiada agama dan tiada tradisi setempat yang mengabsahkannya, sebaliknya ia adalah tingkah laku yang menyimpang dari ajaran Islam dan nilai budi serta kesantunan Melayu-Islam. Setiap pihak perlu memainkan peranan yang aktif untuk memutuskan rantaian jenayah ini. Dunia akan lebih selamat kalau kita saling melindungi.

Sumber: Portal My hadith, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)


 

Comments