Solat itu tiang agama dan sudah menjadi kewajipan bagi diri kita sebagai umat Islam. Hal ini kerana dengan solatlah, iman kita sentiasa terpelihara daripada melakukan perkara – perkara mungkar dan dimurkai Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda:
“Solat pada waktunya, barangsiapa yang meninggalkan solat maka tiadalah agama baginya dan solat itu merupakan tiang agama.” (HR Baihaqi).
Bahkan, Allah SWT juga telah memerintahkan setiap hambaNya untuk mengerjakan solat seperti firmanNya:
“Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.” (QS Al – Baqarah: 43).
Solat bukan sekadar ibadah. Solat itu nadi kehidupan kita. Solat bukan hanya tentang patuh kepada perintah, tapi tentang membina hubungan dengan Allah SWT. Bila seseorang jaga solat, seluruh hidupnya akan berubah. Sebab apa? Sebab solat bukan hanya mencuci dosa tapi solat itu menyusun kembali hati yang kusut berserabut. Setiap kali sujud, kita sebenarnya sedang meletakkan ego, tekanan, luka dan beban dunia di tanah. Dan saat dahi menyentuh sejadah, itulah detik kita benar-benar menjadi hamba yang sebenar-benar hamba, lemah dan sangat memerlukan.
Mengapa sebenarnya kita solat? Jawapannya mudah, kerana kita hamba Allah dan solat lima waktu itu ialah rukun Islam kedua yang wajib kita tunaikan. Sebagai hamba yang merasakan diri penuh kehambaan dan mengingati Tuhan, solat ialah perkara yang tidak perlu dipertikaikan tujuannya kerana sememangnya manusia dan jin dijadikan di muka bumi adalah untuk beribadah kepada-Nya. Kita solat bukan untuk kaya, jadi hebat, takut kepada musibah apatah lagi tunjuk alim. Tetapi kita bersolat kerana kita ini cumalah hamba di muka bumi.
Ingatlah, perkara pertama yang akan dihisab di akhirat adalah solat. Sabda Rasulullah SAW:
"Sesungguhnya amalan pertama yang dihisab oleh seseorang hamba pada hari kiamat adalah solatnya. Sekiranya baik solatnya, maka akan beruntunglah dia. Sekiranya buruk solatnya, maka akan rugilah dia." (HR At – Tirmidzi).
Dunia sudah semakin hampir ke penghujungnya. Maka dari itu, didiklah hati untuk tunaikan solat dengan ikhlas semata-mata kerana kita hamba Allah yang mengingati-Nya tanpa mengharapkan ganjaran syurga atau terhindar daripada azab neraka. Kesedaran harus dibangkitkan bahawa melaksanakan ibadah bukan semata-mata tugas golongan alim, tetapi ia adalah tanggungjawab seluruh umat Islam. Apabila setiap Muslim memahami bahawa ibadah adalah kewajipan, bukan hanya untuk yang 'alim dan soleh', kita akan dapat membina masyarakat yang lebih dekat dengan Allah dan mencapai ketakwaan yang sebenar. Rasulullah SAW bersabda:
"Islam itu dibina atas lima perkara: bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa di bulan Ramadan, dan mengerjakan haji ke Baitullah bagi yang mampu." (HR Bukhari dan Muslim).
Sumber: Facebook Ceramah Ustaz & Ustazah
மலேசியாவில், சுற்றுலாப் பயணிகளை ஈர்ப்பதற்காக மில்லியன் கணக்கான ரிங்கிட் செலவிடப்பட்டுள்ளது, ஆனால் நீங்கள் வெளிநாட்டு சுற்றுலாப் பயணிகளை பயமுறுத்தும் முட்டாள்தனத்தைப் பேசுகிறீர்கள்.
ReplyDelete