ANTARA ARAK NORMALISASI DAN KEZALIMAN REFLEKSI ISLAMIK TERHADAP MAJLIS MAKAN MALAM DAN KERJASAMA YANG MERAGUKAN
Dalam sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai Agama Rasmi Persekutuan, setiap tindakan dan keputusan serta penganjuran majlis oleh pihak berkuasa seharusnya mencerminkan nilai dan prinsip Islam yang syumul. Namun akhir-akhir ini, timbul kebimbangan apabila terdapat laporan berkenaan penganjuran majlis makan malam rasmi oleh kerajaan yang dihidangkan arak secara terbuka serta kerjasama ekonomi sempena mempromosikan Malaysia dengan syarikat yang sedang diboikot secara besar-besaran kerana didakwa menyumbang kepada entiti Z!0n!s I$r43l.
Islam secara tegas mengharamkan arak. Firman Allah SWT:
"Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan menilik nasib adalah najis daripada perbuatan syaitan, maka jauhilah ia supaya kamu berjaya." (QS Al – Maidah: 90).
Pengharaman ini bukan sahaja dari sudut peminuman, bahkan Islam melarang sepuluh golongan yang terlibat dengan arak, seperti yang disebut dalam hadis Rasulullah SAW:
“Rasulullah SAW melaknat sepuluh golongan yang terlibat dengan arak: yang memerahnya, yang diminta memerahkannya, yang meminumnya, yang membawanya, yang minta dibawakan, yang menuangkannya, yang menjualnya, yang makan hasilnya, yang membelinya dan yang meminta dibelikan.” (HR At – Tirmidzi).
Maka apabila arak dihidangkan dalam majlis rasmi yang dibiayai oleh dana kerajaan dan datangnya daripada hasil rakyat, maka bukan sahaja satu penghinaan terhadap hukum Allah SWT, tetapi juga isyarat bahawa prinsip Islam diketepikan demi meraikan nilai liberal atau kehendak tetamu tertentu. Adakah kita mahu menjadikan redha manusia lebih utama daripada redha Allah SWT?
Dalam pada lain, umat Islam di seluruh dunia sedang bergelut menyatakan solidariti terhadap rakyat P4l3st!n yang dizalimi. Boikot terhadap syarikat-syarikat yang dikenal pasti memberi sumbangan secara langsung atau tidak langsung kepada entiti Z!0n!s seperti I$r43l bukan sekadar kempen media sosial, tetapi satu bentuk jihad ekonomi.
Starbucks adalah antara jenama yang sedang hangat diboikot, berikutan laporan berterusan tentang kedudukan mereka yang menyokong pertubuhan pro- I$r43l, termasuk tuntutan mahkamah terhadap pekerja mereka yang menyuarakan sokongan terhadap P4l3st!n. Justeru, apabila pihak berkuasa tempatan atau kerajaan memilih untuk menjalin kerjasama rasmi, membeli produk atau menganjurkan acara dengan penglibatan syarikat seperti ini, maka ia memberi isyarat yang sangat bertentangan dengan aspirasi umat Islam.
Persoalannya, di manakah prinsip “amar ma’ruf dan nahi mungkar” yang sepatutnya menjadi panduan dalam setiap keputusan? Pemerintah dalam Islam bukan sekadar pentadbir atau penjaga ekonomi. Mereka adalah pemegang amanah Allah SWT dalam memimpin rakyat ke arah kebaikan dan menjauhkan kemungkaran. Sabda Rasulullah SAW:
"Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin akan ditanya tentang kepimpinannya." (HR Bukhari dan Muslim).
Maka, apabila pemerintah bukan sahaja gagal mencegah kemungkaran seperti arak dan hubungan yang memberi kekuatan kepada musuh Islam, malah terlibat secara aktif menganjurkan atau merasmikan acara tersebut, maka itu adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap amanah kepimpinan yang sangat berat di sisi Allah SWT.
Umat Islam hari ini tidak memerlukan majlis makan malam yang mewah untuk menunjukkan kemajuan atau keterbukaan. Apa yang lebih utama ialah kebijaksanaan dan keberanian untuk menegakkan prinsip Islam walaupun berdepan tekanan atau kepentingan politik. Kita tidak boleh mendiamkan diri apabila hukum Allah dipermainkan atas nama diplomasi, pelaburan atau keuntungan jangka pendek. Ini sebagaimana firman Allah SWT:
"Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim, yang menyebabkan kamu disentuh oleh api neraka." (QS Hud: 113).
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment