Terdapat banyak dalil yang menunjukkan bahawa Allah SWT itu wujud. Firman Allah SWT: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah malam dan siang, serta matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari dan janganlah pula sujud kepada bulan, dan sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah yang menciptakanNya, kalau betullah kamu hanya beribadah kepada Allah.” (Surah al-Fusilat, Ayat 37)
Untuk mencapai keyakinan tentang kebenaran wujudnya Tuhan iaitu Allah SWT, ia boleh diperoleh melalui dua jalan:
i. Memerhati dengan pancaindera terhadap perkara yang diciptakan olehNya seperti alam semesta yang tidak dijadikan dengan sia-sia. Melalui analisis yang sempurna dengan kaedah berfikir menggunakan akal secara tepat (mantik), seseorang itu akan berasa yakin terhadap bukti-bukti kewujudan Allah SWT.
ii. Mengkaji kewujudan Allah SWT berdasarkan perkhabaran yang disampaikan kepada manusia melalui al-Quran dan hadis mutawatir serta hadis sahih. Kajian ini hendaklah dibuktikan melalui kaedah-kaedah ilmiah tertentu.
Contohnya kejadian alam atau aturan alam semesta yang mengagumkan membuktikan bahawa di sebaliknya sudah tentu terdapat pencipta dan pengaturnya. Mustahil ia berlaku dengan sendiri. Pencipta itulah yang mengarahkan alam semesta ‘berjalan’ menuju kepada matlamat yang telah ditentukannya. Natijah daripada hakikat itu menunjukkan bahawa alam semesta bukan bersifat ‘qadim’ (sesuatu yang tidak mempunyai permulaan atau tidak bermula). Maka, sudah tentu wujud suatu kekuasaan yang memberi kesan untuk menciptakan alam ini iaitu Allah SWT selaku Tuhan Maha Pencipta.
Semua bukti itu berupaya mengelukan lidah golongan ateis walaupun mereka sengaja berdolak-dalik dan menutup akal dengan pelbagai alasan. Golongan tersebut selalunya akan mengulang-ulang hujah kemungkinan dan kebetulan sahaja seperti mengaitkan setiap kejadian bermula dengan teori ‘Big Bang’, akan tetapi semua keyakinan itu jelas terpesong dan bercanggah dengan dalil al-Quran dan hadis. Ia turut ditolak oleh kaedah ilmiah dan rasional akal manusia yang sihat.
Hujah kemungkinan dan kebetulan itu akan runtuh dengan sendiri kerana terdapat ‘ketidakaturan’ dan ‘ketidaksusunan’ terhadap sesuatu walaupun dibiarkan jutaan tahun. Dengan kata lain, golongan ateis tetap mengandaikan bahawa segala apa yang yang tersusun di muka bumi ini adalah bukan aturan daripada Allah SWT yang menciptakan segala-galanya. Ateisme tidak lebih daripada suatu pemikiran dan tindakan memusuhi akal yang sihat dalam mencari kebenaran. Mereka sebenarnya hanyalah mengikut hawa nafsu semata-mata.
Sumber: Majlis Agama Islam Selangor

Comments
Post a Comment