CIRI-CIRI DOKTRIN YANG TERSELEWENG DARI AHLI SUNNAH WAL JAMAAH

 


Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) merupakan ajaran yang betul, lurus, selamat, jelas dan tiada kekeliruan padanya. Antara ciri utama pegangan akidah ASWJ adalah berpegang dan mentafsirkan hukum-hukum Islam berdasarkan empat sumber utama iaitu al-Quran, as-Sunnah, ijmak dan qias tanpa mengabaikan peranan atau kepentingan setiap satu daripadanya.

Sesungguhnya, apabila wujud kepercayaan, pengamalan dan keperibadian yang menyalahi pegangan tersebut, maka ditakuti ia bukan berdasarkan akidah ASWJ yang dijanjikan selamat daripada penyelewengan dan kesesatan. Secara umumnya, antara doktrin yang boleh menyesatkan dan menyelewengkan akidah adalah:
i. Mengingkari Rukun Iman dan Rukun Islam;
ii. Meyakini atau mengikuti akidah yang bercanggah dengan syarak;
iii. Meyakini turunnya wahyu setelah al-Quran;
iv. Mengingkari kandungan atau kebenaran al-Quran dan kedudukan hadis Nabi SAW sebagai sumber ajaran Islam;
v. Merendahkan para nabi dan rasul serta mengingkari Nabi SAW sebagai nabi dan rasul terakhir;
vi. Mengubah asas-asas ibadah yang telah ditetapkan syarak;
vii. Mengkafirkan sesama Muslim tanpa dalil syarie.

Justeru itu, berhati-hatilah dengan anasir-anasir yang mempunyai ciri-ciri tersebut sebagai langkah menghindari kemudaratan pada akidah. Islam adalah sebuah cara hidup lengkap yang meliputi segala urusan kehidupan manusia, mudah, sesuai dilaksanakan di semua keadaan, masa dan tempat serta sesuai dengan fitrah kejadian manusia. Kerana itu penganut agama Islam disifatkan sebagai ummatan wasatan iaitu umat yang sederhana, adil, tidak berat sebelah dalam hal dunia dan akhirat serta seimbang dalam seluruh aspek kehidupannya.

Sumber: Majlis Agama Islam Selangor


Comments