Kehidupan dunia ini hanyalah sementara. Setiap saat yang berlalu membawa kita semakin dekat kepada hari yang pasti – Hari Kiamat. Rasulullah SAW telah memberikan peringatan kepada umatnya tentang pelbagai tanda-tanda kiamat, supaya kita sentiasa bersiap sedia dan tidak lalai dalam menjalani kehidupan dunia.
Dalam banyak hadis sahih, Baginda SAW telah menyebut tanda-tanda kecil Kiamat, sebahagiannya telah pun berlaku, sedang berlaku, dan akan terus berlaku sehingga datangnya tanda-tanda besar.
Antara enam petanda yang pernah disebut oleh Rasulullah SAW adalah seperti berikut:
1. Kewafatan Rasulullah SAW. Kewafatan Baginda merupakan petanda besar bahawa akhir zaman telah bermula. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:
“Hitunglah enam perkara yang mendahului kiamat, antaranya: wafatku sendiri…” (HR Bukhari).
Wafatnya insan paling mulia ini adalah satu kehilangan besar buat umat manusia. Ia juga memberi isyarat bahawa umur dunia semakin pendek dan peluang untuk meraih syafaatnya di akhirat harus digapai dengan berpegang kepada sunnahnya.
2. Pembukaan Baitul Maqdis. Baitul Maqdis pernah dibuka dan ditakluki oleh tentera Islam di zaman Khalifah Umar al-Khattab RA. Ini merupakan salah satu tanda besar bahawa Islam akan tersebar luas, tetapi dalam masa yang sama juga menandakan fasa akhir zaman. Hari ini, kita melihat bumi P4l3st!n terus bergolak, satu petanda bahawa kita berada dalam kitaran akhir sejarah yang telah dijanjikan oleh Rasulullah SAW.
3. Kematian Yang Tiba-Tiba. Dalam zaman moden ini, kematian mengejut semakin menjadi kebiasaan. Serangan jantung, kemalangan, bencana alam dan pelbagai bentuk musibah yang berlaku tanpa amaran telah meragut nyawa ribuan manusia setiap hari. Rasulullah SAW bersabda bahawa di akhir zaman, kematian akan berlaku secara mengejut tanpa sebab yang jelas, seolah-olah nyawa ditarik dengan mudah. Ini adalah peringatan keras untuk kita agar tidak menangguhkan taubat dan amal soleh.
4. Melimpahnya Harta Dalam Kalangan Umat Islam. Nabi SAW menyebut bahawa akan datang suatu masa di mana harta begitu banyak sehingga tiada lagi orang yang mahu menerima zakat. Kekayaan bukan lagi sesuatu yang luar biasa. Hari ini kita lihat negara-negara Islam yang kaya dengan sumber minyak, emas dan pelbagai hasil bumi, namun ironi sekali — kekayaan tidak membawa kepada keadilan sosial, bahkan menjadi sebab timbulnya tamak, rasuah dan perpecahan.
5. Timbulnya Fitnah. Zaman kita kini adalah zaman fitnah. Umat Islam diuji dengan pelbagai bentuk fitnah — dari media sosial, politik, perpecahan, hingga fitnah aqidah dan ideologi yang menyesatkan. Sabda Rasulullah SAW:
“Akan datang fitnah seperti potongan malam yang gelap, seseorang pada waktu pagi beriman dan pada waktu petang menjadi kafir, atau pada petang beriman dan pada pagi menjadi kafir.” (HR Muslim).
6. Perjanjian Antara Orang Islam dan Bani Al-Asfar. Bani al-Asfar merujuk kepada bangsa berkulit putih (Romawi/Barat). Rasulullah SAW bersabda bahawa akan berlaku satu gencatan senjata atau perjanjian damai antara umat Islam dan bangsa Barat, tetapi ia akan dikhianati dan membawa kepada peperangan besar di akhir zaman (Malhamah Kubra). Hari ini, kita melihat pelbagai perjanjian damai dan kerjasama strategik antara dunia Islam dan kuasa Barat dan ini satu petanda yang semakin nyata.
Kesemua tanda ini telah dan sedang berlaku di depan mata kita. Allah SWT masih memberi kita ruang dan masa untuk bertaubat, berubah, dan memperbaiki diri. Tetapi kita tidak tahu sampai bila. Allah SWT berfirman:
"Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selagi nyawanya belum sampai ke halkum." (HR At – Tirmidzi).
Hari ini, kita masih mampu bernafas, solat, membaca al-Qur’an, dan memohon ampun. Esok belum tentu. Dunia semakin hampir kepada penghujungnya. Jangan tunggu datangnya ajal, jangan tunggu matahari terbit dari barat. Kembalilah kepada Allah sekarang, ketika pintu taubat masih terbuka. Kiamat pasti datang. Persoalannya, adakah kita bersedia?
Rasululullah SAW bersabda:
“Bersegeralah kamu beramal sebelum datangnya fitnah seperti malam yang gelap…” (HR Muslim).
Sumber: Kolum Ad – Din, Harian Metro (28 September 2025)
Comments
Post a Comment