GLOBAL SUMUD FLOTILLA (GSF): SUARA KEMANUSIAAN YANG DITINDAS - DUNIA MENGUTUK PENAHANAN TIDAK SAH SUKARELAWAN!!


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ

"Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim, yang menyebabkan kamu disentuh api neraka..." (QS Hud: 113).

Umat Islam yang dirahmati Allah,

Di saat dunia menyaksikan penderitaan rakyat P4l3st!n yang dizalimi, ada insan-insan berhati mulia yang bangkit membawa harapan dan bantuan. Mereka ini adalah sukarelawan, bukanlah pejuang bersenjata dan bukan juga pencetus konflik. Tetapi mereka hanyalah sekumpulan manusia berhati nurani yang menyahut seruan kemanusiaan. Namun malangnya, mereka diperlakukan sebagai penjenayah. Penahanan secara tidak sah terhadap para sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) oleh pihak rejim Zionis adalah satu tindakan zalim yang wajib kita kutuk secara terbuka dan tegas.

Dalam Islam, membantu orang yang tertindas adalah perintah agama. Firman Allah SWT:

“Jika mereka meminta pertolongan kepada kamu dalam urusan agama, maka menjadi kewajiban kamu untuk menolong mereka…” (QS Al – Anfal: 72).

Sukarelawan yang menyertai GSF membawa ubat-ubatan, makanan, dan mesej kedamaian. Namun mereka ditahan, diperiksa, dan diperlakukan dengan tidak bermaruah. Di manakah keadilan? Di manakah prinsip hak asasi manusia yang seharusnya menjadi asas dalam setiap urusan antarabangsa? Penahanan tanpa alasan sah, tanpa proses undang-undang yang adil, tanpa akses kepada bantuan guaman atau hak diplomatik adalah satu pencabulan nyata terhadap Konvensyen Geneva, Piagam PBB, dan prinsip universal kemanusiaan. Sukarelawan bukan pejuang politik tetapi mereka adalah duta kasih sayang dan keprihatinan.

Sebagai umat Islam, kita harus berdiri teguh dan bersuara:

• Mengutuk penahanan tidak sah terhadap sukarelawan kemanusiaan.
• Menuntut pembebasan segera semua yang ditahan tanpa justifikasi.
• Menyeru kepada pematuhan undang-undang antarabangsa dan prinsip hak asasi manusia.
• Mengecam segala bentuk kezaliman yang dikenakan kepada mereka yang membawa rahmat.

KITA TIDAK AKAN DIAM, INI ADALAH AMANAH IMAN!

Rasulullah SAW bersabda:

"Barangsiapa di antara kalian yang melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mengubah dengan tangannya. Jika tidak mampu, maka dengan lisannya. Jika tidak mampu juga, maka dengan hatinya, dan itu adalah selemah-lemah iman." (HR Muslim).

Jika kita tidak mampu hadir di medan, janganlah kita bisu. Umat ini tidak akan membiarkan kezaliman berlaku dalam senyap. Suara kita, doa kita, dan tindakan kita walau kecil tetapi ia bukti bahawa kita masih hidup sebagai umat yang berprinsip. Kami menyeru kepada seluruh masyarakat dunia tanpa mengira agama dan bangsa untuk:

• Mendesak pembebasan segera semua sukarelawan yang ditahan tanpa sebab munasabah.
• Mendokong usaha kemanusiaan yang bebas daripada campur tangan politik dan ketenteraan.
• Meningkatkan tekanan melalui saluran undang-undang, diplomatik dan masyarakat sivil ke atas pihak yang melanggar prinsip kemanusiaan.
• Memberi perlindungan dan bantuan undang-undang kepada para sukarelawan yang teraniaya.

Kita tidak menyeru kepada kebencian, tetapi kepada keadilan. Kita tidak menanam permusuhan, tetapi memperjuangkan maruah insan. Penahanan tidak sah terhadap mereka yang membawa bantuan adalah satu jenayah kemanusiaan yang tidak boleh didiamkan. Misi Global Sumud Flotilla bukan sekadar konvoi bantuan tetapi ia adalah simbol keteguhan umat sejagat menentang kezaliman. Dan kita, sebagai umat Islam, wajib berdiri bersama mereka.

#GlobalSumudFlotilla
#SumudUntukPalestin
#BebaskanSukarelawan
#GSF2025

Sumber: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK)

Comments