Dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza baru-baru ini, dunia menyaksikan bukan sahaja perjuangan fizikal menentang sekatan Israel, tetapi juga perjalanan rohani yang menyentuh hati ramai.
Antara sukarelawan antarabangsa yang menyertai misi tersebut ialah Tommaso Bortolazzi, seorang aktivis Itali yang juga merupakan kapten kapal GSF Maria Cristin, dan Giuliano Logos, seorang artis serta penyair dari Itali yang terkenal dengan semangat artivisme iaitu seni untuk kemanusiaan.
Ketika kapal flotilla ditahan oleh tentera Israel dan para sukarelawan menghadapi tekanan hebat, beberapa detik menyayat hati tersebar di media sosial iaitu kisah keislaman dua orang aktivis tersebut. Tommaz memeluk Islam ketika dalam tahanan Israel dan menyatakan keikhlasannya memeluk Islam tanpa paksaan terasa seperti bayi yang baru dilahirkan. Begitu jua dengan Giuliano, saat terakam detik-detik beliau menenangkan diri dengan berwuduk dan menunaikan solat bersama para peserta Muslim terasa indahnya hidayah Allah SWT dan beruntungnya mereka dengan anugerah termahal sebagai seorang Muslim.
Walaupun belum ada pengesahan rasmi daripada Giuliano sendiri, kedua-dua kisah ini membuka mata dunia bahawa hidayah Allah SWT hadir dengan cara yang paling tidak disangka. Dalam lautan perjuangan dan kesakitan rakyat Gaza, Allah SWT masih menghadirkan sinar keinsafan di hati mereka yang mencari kebenaran.
Namun, di sebalik kisah indah tentang mereka yang menemukan cahaya Islam, ada juga ujian bagi mereka yang telah menerima hidayah tetapi kemudian berpaling daripadanya. Realitinya, ada muallaf yang goyah imannya kerana tekanan sosial, hilang bimbingan, atau tersilap memilih teman dan persekitaran.
Oleh itu, kisah Sumud Flotilla ini seharusnya menjadi peringatan dan penyedaran bahawa hidayah bukan sekadar detik menyentuh hati, tetapi amanah yang perlu dijaga dengan ilmu, sokongan, dan istiqamah. Umat Islam juga perlu memainkan peranan dalam mendampingi dan menguatkan saudara-saudara muallaf, agar mereka tidak kembali ke kegelapan setelah merasai cahaya.
Hidayah bukan milik satu bangsa, satu bahasa, atau satu tempat. Ia adalah pemberian Ilahi kepada sesiapa sahaja yang ikhlas mencari makna kemanusiaan dan kebenaran. Dan di tengah-tengah ombak lautan Mediterranean, misi kemanusiaan itu akhirnya menjadi misi spiritual, menghidupkan nur Islam di hati mereka yang menyaksikan keteguhan umat mempertahankan maruah dan kasih sesama manusia.
“Sesungguhnya Allah memberi petunjuk kepada siapa yang Dia kehendaki ke jalan yang lurus.”
(Surah Al-Baqarah, ayat 213)
Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia _ OKT 2025
Comments
Post a Comment