ILMU ITU JALAN MUJAHADAH REFLEKSI DARI MISI KEMANUSIAAN GLOBAL SUMUD FLOTILLA


Dalam dunia yang penuh cabaran dan ketidakadilan, misi-misi kemanusiaan seperti Global Sumud Flotilla (GSF) membuka mata kita tentang betapa pentingnya peranan ilmu dan pendidikan dalam membela kebenaran serta memperjuangkan nasib umat Islam yang tertindas. Dalam satu ciapan di aplikasi Threads, seorang pengguna menulis:

“Mana anak melayu yang duk canang universiti tak penting, sekolah tak penting, sains tak penting, English tak penting, education tak penting? Global Sumud Flotilla should have stirred up something in you. English penting to communicate the message, to be the voice of the oppressed. Sains penting as it helps you to maneuver the ships, to get the vessels moving, universiti dan pendidikan open doors for networking and critical thinking. So, when the ummah needs you, you can always answer the call.”

Ada satu frasa ayat yang menarik perhatian artikel di mana ciapan itu mengatakan:

"Mana anak Melayu yang duk canang universiti tak penting, sekolah tak penting, sains tak penting, English tak penting, education tak penting?"

Persoalan ini bukan sekadar sindiran, tapi satu panggilan kesedaran buat kita semua bahawa ilmu itu adalah senjata orang beriman. Dalam konteks perjuangan umat Islam hari ini, kita tidak boleh memandang ringan keperluan untuk menguasai ilmu duniawi dan ukhrawi sebagai bekalan dalam membela agama dan membina kekuatan ummah. Rasulullah SAW bersabda:

"Barangsiapa yang menempuh suatu jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan mudahkan baginya jalan menuju syurga." (HR Muslim).

Islam tidak pernah memisahkan antara ilmu agama dan ilmu dunia. Sains, bahasa, teknologi, kejuruteraan, dan pelbagai lagi bidang adalah jalan untuk membawa manfaat kepada manusia dan menegakkan agama Allah di muka bumi. Dalam misi GSF, penguasaan bahasa Inggeris memainkan peranan besar dalam menyampaikan mesej perjuangan ke seluruh dunia. Tanpa kemahiran komunikasi antarabangsa, suara umat Islam akan terus dibisukan oleh sistem media global yang berat sebelah. Bahasa bukan sekadar alat komunikasi, tetapi kunci kepada dakwah, pembelaan, dan penyatuan ummah di peringkat global. Bila kita mampu bercakap dalam bahasa dunia, kita mampu menjadi suara kepada mereka yang tidak mampu bersuara.

Mungkin ramai yang tidak melihat kaitan antara sains dengan perjuangan Islam. Tetapi lihatlah bagaimana teknologi digunakan dalam pergerakan flotilla. Dari navigasi kapal, komunikasi antarabangsa, hingga aspek keselamatan dan logistik. Semua ini memerlukan kepakaran dalam bidang sains dan teknologi. Umat Islam mesti sedar bahawa sains bukan milik Barat. Ia adalah warisan tamadun Islam sejak zaman Ibn Sina, Al-Khawarizmi, Al-Biruni dan ramai lagi. Kita pernah menjadi peneraju dalam ilmu, dan kita boleh mencapainya semula jika kita kembali menghargai dan mengejar ilmu.

Universiti pula bukan sekadar tempat mengejar ijazah. Ia adalah medan membentuk pemikiran, membina jaringan, dan melahirkan generasi mujahid ilmu. Ketika ummah memerlukan kita, kita tidak lagi tertanya-tanya "apa yang aku boleh buat?", kerana kita telah bersedia dengan ilmu, akhlak, dan kesedaran yang lahir dari pendidikan. Allah SWT berfirman:

"Katakanlah (wahai Muhammad), adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" (QS Az – Zumar: 9). 

GSF hanyalah satu contoh dari banyak lagi perjuangan yang sedang berlaku. Tetapi ia cukup untuk menyedarkan kita bahawa ilmu itu bukan pilihan, tapi keperluan. Ketika saudara kita di G4z@ menjerit meminta pertolongan, kita tidak mahu menjadi golongan yang hanya mampu berdoa, tetapi tidak mampu bertindak kerana kita abaikan ilmu sejak awal. 

Belia Islam, bangkitlah. Jangan lagi rendahkan nilai pendidikan, sains, bahasa, dan ilmu. Semua itu adalah amanah. Agar bila ummah memanggil, kita mampu menjawab dengan ilmu, bukan emosi. Dengan tindakan, bukan hanya tangisan. Sabda Rasulullah SAW:

"Barangsiapa yang Allah kehendaki kebaikan padanya, nescaya Allah akan faqihkan dia dalam agama." (HR Bukhari & Muslim).

Sumber: Bahagian Pendidikan, Jabatan Agama Islam Negeri Pahang (JAIP)


 

Comments