Benarlah kata pepatah, niat tidak menghalalkan cara. Hal ini berikutan ramai ‘pendakwah jalanan’ yang cuba menyebarkan agama Islam terutamanya kepada golongan bukan Islam yang mereka temui di jalanan. Namun, kini lebih variasi cara dakwahnya selari dengan kemajuan teknologi yang boleh disampaikan melalui pelbagai platform atas talian dan tersebar luas tanpa batasan.
Perkataan yang digunakan, “I’m Muslim and I follow Jesus’ kononnya untuk menarik perhatian golongan bukan Islam supaya mereka timbul keraguan dan akhirnya mendekati ‘pendakwah jalanan’ ini demi sebuah jawapan yang pasti. Pada masa yang sama, tanpa sedar penyataan itu jelas salah dan pasti menimbulkan kekeliruan dalam kalangan penganut Islam sendiri yang jahil agamanya.
Dalam sebuah peristiwa ketika Rasulullah SAW melihat tangan Umar al-Khattab memegang Kitab Taurat, lalu Baginda bersabda: “Apakah engkau masih ragu-ragu wahai anak al-Khattab? Sekiranya Nabi Musa masih hidup nescaya baginda tiada pilihan kecuali untuk mengikutiku.”
Terdapat satu lagi peristiwa yang diceritakan dalam sebuah hadis riwayat al-Baihaqi yang menjelaskan tentang turunnya Nabi Isa AS di akhir zaman nanti, ketika mana baginda masuk ke dalam masjid tempat di mana tentera Islam bersama Imam Mahdi telah bersedia untuk mengerjakan solat Subuh, apabila Imam Mahdi melihat Nabi Isa, beliau menjemput baginda untuk mengimami solat Subuh, tetapi ternyata Nabi Isa AS menolakknya dan menjelaskan bahawa:
“Ianya (yakni solat Subuh itu) telah diiqamatkan buat engkau.” Lalu Imam Mahdi pun ke hadapan dan mengimami solat Subuh tersebut manakala Nabi Isa menjadi makmum di belakangnya.
Para ulama dalam menjelaskan hadis ini menyatakan bahawa perbuatan Nabi Isa AS menolak untuk menjadi imam merupakan isyarat bahawa apabila baginda turun di akhir zaman nanti, baginda sama sekali tidak akan membawa syariat baginda, sebaliknya Nabi Isa AS akan mengikut syariat Nabi Muhammad SAW.
Justeru itu, ucapan seorang Muslim ‘I follow Jesus’ adalah tidak wajar, malah boleh membawa implikasi yang lebih berat kerana nas-nas al-Quran dan hadis menyebut secara terang lagi jelas bahawa seorang Muslim itu diperintahkan untuk mengikut Nabi Muhammad SAW semata-mata dan syariat nabi sebelum baginda adalah termansuh. Meskipun niatnya baik untuk berdakwah tetapi ingatlah bahawa niat tidak menghalalkan cara. Khuatir tersesat akidah pincang syariat.
Sumber: Syarah kitab akidah dan persoalan semasa – mazuddin.wordpress.com
Sumud is steadfastness. It will remain intact and continue sailing until it penetrates all obstacles. Break a silence is already worked.
ReplyDelete