ISU ‘DEHIJABING’: KECETEKAN ILMU MEMPERBODOHKAN DIRI



‘Dehijabing’– adalah istilah yang merujuk kepada perbuatan Muslimah yang memilih untuk tidak bertudung. Kebanyakan golongan yang menyokong ‘dehijabing’ ini mendakwa bahawa al-Quran tidak pernah menyatakan rambut atau kepala wanita Muslimah perlu ditutup, sebaliknya ayat al-Quran hanya menyebut kain tudung (kerudung) kepala perlu dilabuhkan untuk menutup dada sahaja.

Dakwa mereka lagi, pemakaian tudung dalam kalangan wanita Muslimah di Malaysia adalah bersifat budaya tempatan semata-mata, bukan tuntutan atau ajaran agama Islam. Bersandarkan dakwaan tersebut, dapat difahami bahawa pendukung ‘dehijabing’ memilih untuk tidak bertudung kerana mendakwa ia bukan suatu dosa dan tidak disebutkan dalam al-Quran. Sebaliknya kewajipan bertudung itu adalah tafsiran ulama semata-mata yang dipengaruhi budaya tempatan.

Kenyataan tersebut sebenarnya jelas menunjukkan bahawa mereka bukan sahaja tidak memahami ayat al-Quran tersebut, bahkan tidak memahami pengertian aurat dan tudung. Kecetekan ilmu tentang perkara itu membuatkan dakwaan yang dihujahkan mereka tersasar daripada kebenaran. Paling menyedihkan apabila mereka seolah-olah tidak mempedulikan semua itu. Sebaliknya, terus menuduh dan mengkritik pihak berkuasa menggunakan kekerasan dan paksaan. Hakikatnya, pihak berkuasa agama hanya bertindak sebagai ‘polis moral’.

Tidak terhenti di situ, mereka terus mencipta alasan demi alasan. Kali ini mereka berhujah bahawa Islam tidak bersifat memaksa ke atas umatnya termasuk tidak memaksa wanita Muslimah memakai tudung. Sedangkan ayat al-Quran dalam Surah al-Baqarah, ayat 256 merujuk kepada tidak ada paksaan ke atas bukan Islam memeluk agama Islam. Jelas, pendukung ‘dehijabing’ sama sekali tersasar dari konteks tafsiran sebenar dan menyalahgunakan ayat tersebut kerana telah terpengaruh dengan ideologi liberalisme yang berpegang kepada hak asasi dan kebebasan individu.

Justeru itu, semua pihak perlu berganding bahu untuk menangani isu ‘dehijabing’ kerana tanpa kita sedar, fahaman songsang ini sangat berbahaya kepada pemikiran dan akidah umat Islam khususnya di Malaysia.

Sumber: Majlis Agama Islam Selangor


 

Comments