ISU MURTAD: ANTARA HAK ASASI DAN TUNTUTAN SYARIAH – DI MANA BATASNYA?

 


Malaysia dalam perlembagaannya tidak menafikan kebebasan beragama. Namun, kebebasan ini bukanlah satu prinsip yang bersifat mutlak. Islam menitikberatkan kerelaan dalam menganuti agama hanif ini, sebarang paksaan dan kekerasan merupakan bentuk kezaliman.

Namun begitu, setelah seseorang individu melafazkan syahadah pada saat itulah dirinya tidak dibenarkan sewenang dan sebebasnya untuk keluar agama (murtad). Isu timbul apabila wujud kekeliruan dalam kalangan masyarakat bahawa tatkala seorang Muslim murtad, tidak sepatutnya tindakan tersebut diletakkan di bawah satu kesalahan jenayah syariah, sebaliknya tindakan itu merupakan suatu hak kebebasan dalam beragama yang wajar dinikmati setiap individu.

Memandang serius akan isu ini, umat Islam yang telah atau mempunyai niat untuk murtad perlu sedar bahawa memegang mandat sebagai seorang Muslim tidak bermakna hak kebebasan tersebut boleh digunakan dengan sewenangnya memandangkan syarak telah meletakkan segala batas dalam agama Islam dan ianya perlu dipatuhi. Selaras dengan itu juga, maqasid syariah sudah terang-terangan menyebut mengenai kewajipan untuk menjaga agama, maka adalah dilarang untuk keluar daripada agama Islam. Sepatutnya, hak kebebasan asasi yang diperjuangkan oleh sesetengah masyarakat sewajarnya tidak timbul jika mereka sedar bahawa mereka adalah golongan yang berilmu agama yang cukup dan faham dengan kehendak syarak.

Dari aspek perundangan pula, perbuatan murtad atau keluar Islam ini merupakan satu kesalahan jenayah syariah sebagaimana yang diperuntukkan di bawah undang-undang kesalahan jenayah syariah negeri-negeri. Meskipun terdapat beberapa kelompongan, namun perlu ada langkah-langkah diambil untuk menjaga maqasid syariah dan mempertahankan insan yang beragama Islam. 

Sumber: Jurnal Pengajian Islam, Bil.16 (2) – Universiti Malaya


Comments