Minggu lalu, kita dikejutkan dengan berita menyayat hati apabila seorang rakyat Malaysia telah dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Singapura atas kesalahan mengedar 44.96 gram heroin pada tahun 2011. Walaupun kes ini sudah lebih satu dekad berlalu dan baru dijatuhi kesalahannya pada tahun ini, hukuman berat itu menjadi peringatan yang sangat jelas bahawa setiap tindakan dalam hidup ada akibatnya. Kadang-kadang, akibat itu bukan sahaja menghapuskan masa depan dunia, tetapi juga meragut peluang kita di akhirat.
Sebagai umat Islam, peristiwa ini seharusnya membangkitkan rasa tanggungjawab dalam diri kita untuk menjauhi perbuatan yang mendatangkan mudarat besar, baik kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat mahupun agama. Kita juga tentu sudah tahu tentang bahaya pengedaran dadah kepada diri sendiri ataupun masyarakat, apatah lagi ia melibatkan perundangan luar daripada negara Malaysia. Di bawah Misuse of Drugs Act (MDA) Singapura, jika seseorang didapati mengedar melebihi 15 gram diamorphine (heroin tulen), dia boleh dijatuhkan hukuman mati secara mandatori.
Dadah bukan sahaja membunuh dari segi undang-undang, tetapi ia juga perlahan-lahan menghancurkan kehidupan fizikal dan mental. Pengguna akan mengalami kerosakan otak, kehilangan fungsi tubuh, ketagihan kronik, dan boleh membawa kepada kematian akibat overdosis. Bukan itu sahaja — kesihatan mental turut terjejas, membawa kepada kemurungan, halusinasi dan tingkah laku agresif. Satu kesalahan individu boleh menghancurkan banyak jiwa. Ibu bapa kehilangan anak, anak kehilangan bapa, isteri kehilangan suami, masyarakat kehilangan insan yang sepatutnya menyumbang kepada pembangunan. Rumah tangga runtuh, komuniti rosak, dan jenayah lain seperti rompakan, keganasan dan rogol seringkali berlaku akibat penyalahgunaan dadah.
Dalam hal ini, Islam sangat menekankan penjagaan diri, nyawa, akal dan masyarakat. Setiap tindakan yang membawa kepada kebinasaan atau kemudaratan adalah dilarang keras dalam syariat. Firman Allah SWT:
"Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu ke dalam kebinasaan dengan tanganmu sendiri..." (QS Al – Baqarah: 195).
Sementara itu, sabda Rasulullah SAW pula bermaksud:
“Tidak boleh mendatangkan mudarat, dan tidak boleh membalas mudarat dengan mudarat.” (HR Ahmad & Ibnu Majah).
Salah satu objektif utama syariah Islam ialah menjaga nyawa (Hifz al-Nafs). Setiap perkara yang boleh mengancam nyawa manusia termasuklah penggunaan dan pengedaran dadah wajib dijauhi. Islam juga menekankan penjagaan akal (Hifz al-‘Aql), yang juga terancam akibat pengambilan dadah. Perbuatan menjual atau mengedar dadah bukan sahaja menzalimi diri sendiri, malah membawa bahaya kepada orang lain. Ia adalah bentuk kezaliman yang amat dilarang dalam Islam.
Jadi, apa langkah terbaik yang boleh kita lakukan?
1. Bertaubat dan kembali kepada jalan Allah SWT.
2. Jauhi lingkaran dan pengaruh yang buruk.
3. Bantu mereka yang sedang berjuang.
Kisah rakyat Malaysia yang dihukum gantung ini bukan sekadar berita. Ia adalah pengajaran. Ia adalah peluang untuk kita muhasabah diri dan kembali kepada Allah SWT. Jangan kerana sedikit habuan dunia, kita gadaikan akhirat. Jangan kerana pengaruh kawan, kita hancurkan masa depan sendiri. Hidup ini singkat, tetapi kesannya panjang. Mari kita jaga diri, jaga keluarga, dan jaga masyarakat. Jadikan Islam sebagai panduan, dan redha Allah SWT sebagai matlamat.
Allah SWT berfirman:
“Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya dia akan mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (QS An – Nisa’: 110).
Sumber: Laporan Harian Metro (25 September 2025)
Comments
Post a Comment