KEPENTINGAN PEMELIHARAAN AKIDAH MEMBATASI KEMURTADAN

 

Perkara akidah adalah merupakan isu penting dalam keimanan seseorang Muslim. Ia menjadi titik permulaan kepada keimanan terhadap Allah dan RasulNya. Oleh itu, para ulama sejak zaman Rasulullah SAW, Sahabat dan Tabi’in sehingga ke hari ini bersepakat bahawa pemeliharaan kepada iman adalah wajib bagi menjaga kesucian agama.  

Pada zaman awal Islam, umat Islam wajib mempertahankan akidah dengan jihad dan tidak dibenarkan menggugurkan akidah mereka secara murtad. Mereka akan dikenakan penalti oleh syarak sebagai satu kesalahan dalam agama jika berbuat demikian seperti gesaan supaya bertaubat atau dikenakan hukuman hudud.

Pada zaman Kesultanan Melayu awal turut menekankan peri pentingnya penjagaan akidah dan diperintahkan supaya perkara-perkara yang boleh menggugat akidah umat Islam dihentikan dan dijauhi serta-merta. Perkara ini berterusan sehinggalah kepada penggubalan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang pentadbiran agama Islam di setiap negeri. Terdapat peruntukan khusus dalam Perlembagaan yang menjaga akidah umat Islam sama ada melalui institusi pendidikan mahupun daripada institusi pentadbiran dan penguatkuasaan. 

Di kebanyakan negeri-negeri di Malaysia, pentadbiran Islam dan fatwa diuruskan seiring dengan kehendak ‘daruri’ nas di mana perkara yang membawa kepada penyelewengan akidah hendaklah dibendung sama ada gesaan taubat atau penguatkuasaan undang-undang. Dua bentuk pemeliharaan akidah melalui sad al-dhara'i (menghalang perbuatan yang dilarang atau haram) dan penguatkuasaan hukuman ke atas penjenayah akidah. Justeru itu, kesalahan yang membawa kepada penyelewengan akidah dapat disekat dan ini dapat memastikan akidah umat Islam adalah terpelihara dengan baik dan sempurna.

Sumber: Jurnal al-Afkar, Vol.18- Universiti Sains Malaysia


Comments