Malaysia telah mengiktiraf agama Islam sebagai agama persekutuan atas kapasiti Tanah Melayu yang majoritinya berbangsa Melayu. Dalam Perlembagaan Malaysia telah menafsirkan ‘Melayu’ sebagai seseorang yang mestilah beragama Islam dan menjadikan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) sebagai pegangan utama.
Namun, modernisme telah sedikit demi sedikit menghakiskan imej Melayu-Islam sehinggakan segelintir kelompok cuba menongkah arus memurtadkan diri atau menyesatkan diri dengan menyekutukan Allah SWT. Bukan itu sahaja, ada juga segelintir yang masih beragama Islam tetapi pemikiran dan perbuatannya berteraskan Barat sehingga cuba menjustifikasikan semula ayat-ayat al-Quran dan hadis qat’ie demi kepentingan diri sebagaimana fahaman liberalisme.
Oleh sebab itu, pentingnya peranan ulama dan ilmuan untuk membendung penularan ancaman akidah terhadap masyarakat Islam demi manfaat kepada agama, negara dan ummah. Penyelesaian berpaksikan ilmu wahyu dalam laras Bahasa yang mudah difahami masyarakat adalah peranan sebenar ulama yang dihormati kerana kebijaksanaan dan ketelusan mereka dalam membimbing umat. Pada masa yang sama, usaha para agamawan membangunkan ummah yang hidup penuh rahmah dalam kemajmukan, inklusif, berkasih sayang serta saling menghormati perlulah disokong oleh masyarakat Islam.
Justeru itu, mana-mana pemikiran ekstrem seperti liberalisme, ateisme, sekularisme, murtad, fitnah-memfitnah, benci membenci apatah lagi sikap kafir-mengkafirkan sesama Muslim perlulah dibendung dengan bersungguh-sungguh supaya akidah umat Islam jauh dari kesesatan dan kepesongan dek kerana terpana dengan fatamorgana dunia.
Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia – OKT 2025 dan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – 25 OKT 2025

Comments
Post a Comment