Bendera atau panji berperanan sebagai simbol utama yang mewakili kedaulatan, identiti serta nilai-nilai sesebuah entiti, sama ada negara, kerajaan mahupun kumpulan. Lazimnya, perbuatan mengibarkan bendera secara terbuka ditafsirkan sebagai suatu bentuk pengiktirafan, penghormatan dan kecintaan terhadap entiti yang diwakilinya.
Baru-baru ini terdapat dua kejadian yang mendapat perhatian umum apabila ada pihak yang mengibarkan bendera Israel secara terbuka semasa Program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan. Sebuah kes lagi berlaku di Melaka yang melibatkan kenderaan pacuan empat roda milik pesara kerajaan di Melaka mempunyai pelekat tertera tulisan dalam Bahasa Hebrew. Tulisan tersebut membawa maksud ‘Malaysia adalah rumah kita atau Malaysia di tangan kami.’ Tindakan tersebut telah mencetuskan persepsi negatif dan menimbulkan keresahan dalam masyarakat awam.
Bercanggah dengan pendirian Malaysia
Tindakan tersebut dianggap sebagai bercanggah dengan dasar luar Malaysia yang menolak sebarang hubungan dengan Israel. Dalam konteks hubungan antarabangsa, perbuatan terbabit sering kali ditafsirkan sebagai isyarat persahabatan, persetujuan atau pengakuan terhadap legitimasi entiti tersebut.
Walhal, Malaysia secara konsisten tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara yang berdaulat dan tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik, sejajar dengan pendirian Malaysia yang menyokong penuh perjuangan rakyat Palestin dalam menuntut hak kemerdekaan mereka.
Hukum rakyat Malaysia kibar bendera Israel dari segi syarak
Perbuatan mengibarkan bendera atau membawa identiti negara luar khususnya Israel secara terbuka adalah dilarang kerana termasuk dalam perbuatan yang melampaui batas syarak apabila menzahirkan pengiktirafan terhadap kezaliman, penjajahan dan penindasan berpanjangan terhadap umat Islam di Palestin. Perbuatan tersebut juga dianggap telah menyinggung sensitiviti umat Islam di seluruh dunia.
Kesimpulan
Secara asasnya ianya adalah dilarang kerana mengandungi unsur-unsur pengakuan atau pengiktirafan terhadap Israel, bahkan seolah-olah membenarkan kekejaman dan pembunuhan umat Islam di Palestin. Malaysia juga mengecam sekeras-kerasnya tindakan ketenteraan dan kekejaman Israel terhadap Palestin. Justeru itu, tindakan mengibarkan bendera atau membawa identiti berkait Israel adalah tindakan yang tidak sepatutnya berlaku dan perlu di ambil tindakan segera.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Comments
Post a Comment