‘LEGAL SUPPORT BOAT’ SUMUD FLOTILLA: JIHAD MODEN BERBEKALKAN KEBIJAKSANAAN DAN UNDANG-UNDANG SEBAGAI ‘SENJATA’

 


Sebuah kapal bernama ‘Legal Support Boat’ atau Kapal Bantuan Guaman belayar mengiringi flotilla bantuan kemanusiaan ke Gaza bukan dengan muatan senjata, tetapi dengan muatan peguam, pakar undang-undang dan helaian-helaian nas undang-undang antarabangsa. Misi mereka jelas iaitu untuk menjadi pemerhati, pendokumentasi dan benteng pertahanan undang-undang bagi aktivis kemanusiaan yang cuba memecah sekatan ke atas Gaza.

Inisiatif ini bukanlah sekadar aksi simbolik, tetapi satu manifestasi jihad moden yang menggunakan kebijaksanaan dan lunas undang-undang sebagai ‘senjata’. Ia mencerminkan satu anjakan paradigma dalam usaha membela golongan yang ditindas, di mana kekuatan hujah dan bukti lebih diutamakan. Tindakan ini selaras dengan tuntutan syariat (al-Quran dan as-Sunnah) dalam menegakkan kebenaran menentang kezaliman di mana keadilan diletakkan sebagai salah satu prinsip tertinggi yang wajib ditegakkan oleh setiap Muslim.

Firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa, ayat 35, maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jadilah kamu orang yang benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah, sekalipun terhadap dirimu sendiri, atau terhadap ibu bapa dan kaum kerabatmu.”

Ayat ini menjadi teras yang menunjukkan bahawa perjuangan menegakkan keadilan adalah satu bentuk ibadah dan kesaksian di hadapan Allah SWT. Tindakan para peguam di atas ‘Legal Support Boat’ yang memantau, mencatat dan melaporkan sebarang pelanggaran undang-undang antarabangsa adalah terjemahan langsung perintah ini. Apa yang dilakukan para aktivis undang-undang ini adalah jihad ‘al-Lisan wa al-Qalam’ (jihad melalui perkataan dan tulisan), di mana mereka menggunakan kepakaran dan hujah undang-undang untuk menentang naratif palsu dan mempertahankan hak asasi manusia.

Kesimpulannya, inisiatif ‘Legal Support Boat’ adalah satu contoh cemerlang bagaimana prinsip Islam boleh dizahirkan dalam konteks dunia moden. Ia membuktikan bahawa perjuangan membela yang tertindas tidak semestinya memerlukan kekerasan, sebaliknya boleh dicapai melalui ilmu, profesionalisme, dan keberanian untuk bersuara di landasan yang benar. Ia adalah peringatan buat kita semua bahawa setiap individu mempunyai peranan dalam menegakkan keadilan, sama ada melalui kepakaran, harta, mahupun doa. Renung-renungkan.


Comments