Penyerapan pemikiran yang mengutamakan logik akal dan mengesampingkan keimanan telah menular secara halus untuk menjejaskan akidah dalam kalangan umat Islam. Logik akal versi Barat mempercayai bahawa logik akal mampu memahami fenomena alam dengan sendiri. Bagi mereka, nilai keimanan sebagai sesuatu yang relatif dan berubah mengikut peredaran serta perkembangan semasa.
Namun, versi Barat ini hanya terbatas kepada bukti kajian dan eksperimen melalui panca indera yang lima sahaja. Ini bermakna akal mempunyai kelemahan dan memiliki keupayaan yang terhad. Ia bukanlah merupakan sesuatu kecacatan, namun kekurangan itu memperlihatkan peranan akal dalam ruang lingkup yang terbatas.
Manakala Islam menerima akal bukan sahaja dari sudut lahiriah (panca indera), bahkan dalam sumber lain iaitu dari sudut rohaniah. Islam memposisikan akal tidak terlalu tinggi sehingga disanjung berlebihan. Begitu juga akal tidak direndahkan setaraf haiwan. Akal berada di kedudukan yang selayaknya. Penerimaan akal dan keimanan terhadap wahyu memerlukan keserasian dalam memahami hakikat kebenaran.
Selain itu, akal bukan sekadar digunakan untuk menginterpretasi atau menjawab persoalan falsafah, tetapi juga menyokong kebenaran yang selari dengan keimanan terhadap wahyu. Itulah peranan wahyu iaitu pemandu kepada akal. Dosa, pahala, wajib, haram, syurga, neraka, semuanya tidak mampu dihuraikan oleh keterbatasan akal. Perkara ini menunjukkan bahawa terdapat perkara yang khusus hanya milik Allah SWT sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Luqman, ayat 34:
Maksudnya: "Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari Kiamat dan Dialah jua Yang Menurunkan hujan dan Yang Mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu mengandung) dan tiada seseorang pun yang mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuan- Nya."
Sumber: Majlis Agama Islam Selangor
Comments
Post a Comment