NIKMAT DUNIA DIGUNAKAN UNTUK KESENANGAN AKHIRAT


Dunia ini adalah ladang untuk akhirat. Segala nikmat yang Allah SWT anugerahkan kepada manusia di dunia bukan sekadar untuk kesenangan sementara, tetapi hakikatnya adalah alat dan peluang untuk meraih kebahagiaan dan kejayaan yang kekal abadi di akhirat. Dalam Islam, dunia bukanlah matlamat, tetapi wasilah (jalan) menuju akhirat. Allah SWT berfirman:

"Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan belanjakanlah sebahagian daripada harta yang Dia telah menjadikan kamu sebagai pemegang amanahnya..." (QS Al – Hadid: 7).

Ayat ini menjelaskan bahawa segala nikmat dunia – harta, masa, kesihatan, ilmu dan kedudukan – hanyalah amanah. Ia bukan milik mutlak manusia, tetapi pinjaman sementara untuk diuji bagaimana ia digunakan. Rasulullah SAW merupakan contoh terbaik bagaimana menggunakan nikmat dunia untuk akhirat. Walaupun baginda mampu hidup mewah jika mahu, namun baginda memilih kesederhanaan dan menggunakan segala nikmat untuk berkhidmat kepada agama, membantu fakir miskin, serta mengajak manusia kepada Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW:

"Tidak akan berganjak kaki anak Adam pada hari kiamat sehingga dia ditanya tentang lima perkara: tentang umurnya ke mana dihabiskan, tentang masa mudanya ke mana digunakan, tentang hartanya dari mana diperoleh dan ke mana dibelanjakan, dan tentang ilmunya apakah dia mengamalkannya." (HR At – Tirmidzi).

Bagaimanakah caranya untuk kita menggunakan nikmat dunia untuk akhirat?:

1) Harta untuk sedekah dan infaq. Bersedekah dan menyumbang ke jalan Allah SWT adalah cara paling jelas menggunakan nikmat dunia untuk akhirat. Allah SWT berjanji pahala berlipat ganda bagi mereka yang membelanjakan harta di jalan-Nya. FirmanNya:
“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.” (QS Al – Baqarah: 261).
2) Ilmu untuk Dakwah dan Kebaikan. Ilmu yang digunakan untuk memberi manfaat kepada orang lain, mengajar, menulis atau berdakwah akan menjadi amal jariah yang berterusan pahalanya walaupun setelah kita meninggal dunia.
3) Masa dan Tenaga untuk Beribadah dan Khidmat Masyarakat. Gunakan waktu dan kekuatan untuk memperbanyakkan amal soleh – solat, membaca al-Quran, menolong orang lain, menyebarkan kebaikan dan menjauhi maksiat.
4) Kesihatan untuk Ibadah. Selagi tubuh sihat, gunakan ia untuk beribadah. Sabda Rasulullah SAW:
"Dua nikmat yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia: kesihatan dan masa lapang." (HR Bukhari).
5) Kedudukan dan Pengaruh untuk Menegakkan Kebenaran. Jika dikurniakan kuasa, gunakan ia untuk menegakkan keadilan, membantu golongan tertindas dan menyebarkan ajaran Islam.

Kehidupan dunia bukanlah tempat untuk bermegah-megah, tetapi tempat untuk berusaha, beramal dan menanam benih kebaikan. Keuntungan sebenar bukanlah harta yang banyak, tetapi pahala yang membawa kita ke syurga. Gunakanlah nikmat dunia dengan bijaksana, kerana setiap nikmat akan ditanya, dan hanya yang digunakan di jalan Allah akan menjadi keuntungan abadi buat kita di akhirat kelak. Firman Allah SWT:

"Dan carilah (pahala) negeri akhirat dengan apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu, dan janganlah kamu lupakan bahagianmu di dunia..." (QS Al – Qasas: 77).

Sumber: Kolum Addin, Harian Metro (19 September 2025)


 

Comments