Penyelewengan akidah adalah satu isu yang dominan dalam sesebuah negara. Kecuaian terhadap kepentingan penjagaan akidah sedikit sebanyak memberikan kesan negatif terhadap kehidupan seorang Muslim itu sendiri dari segi rohani dan jasmani.
Keruntuhan akidah umat Islam kini semakin meningkat disebabkan wujudnya unsur-unsur negatif yang menjadikan penjagaan akidah mereka terlalu lemah. Akibat kelemahan ini dan pengabaian menjaga akidah menyebabkan umat Islam mudah rosak dan terpengaruh dengan anasir yang menyeleweng.
Oleh sebab itu, penerimaan suatu amalan bergantung kepada cara dan kaedah pelaksanaannya sama ada ianya bertepatan dengan kehendak syarak atau bercampur aduk dengan unsur yang bercanggah dengan prinsip akidah. Umpamanya, segala bentuk khurafat sama ada berbentuk amalan dan kepercayaan boleh membawa kepada syirik adalah tertolak dan dianggap merosakkan akidah kerana bercanggah dengan ajaran Islam.
Justeru itu, hukum mengamalkan atau mencampur adukkan amalan dengan unsur khurafat jelas kesesatannya dan bertentangan dengan syariat Islam. Garis panduan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan boleh menjadi penanda aras dan rujukan bagi membersihkan elemen khurafat atau pengamalan masyarakat Islam di Malaysia yang menyalahi akidah sebenar ditetapkan syariat Islam sebagaimana pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berasaskan al-Quran dan as-Sunnah.
Sumber: Jurnal Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa – Universiti Sains Islam Malaysia
Comments
Post a Comment