Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan satu kes tragis melibatkan empat pelajar sekolah menengah berusia 17 tahun yang didakwa memperkosa seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun secara bergilir-gilir. Perbuatan ini bukan sahaja melanggar undang-undang negara, tetapi lebih berat lagi, ia adalah satu dosa besar yang dimurkai Allah SWT. Dalam Islam, maruah dan kehormatan individu amat dijaga. Rogol merupakan satu bentuk zina yang dilakukan tanpa kerelaan mangsa dan dengan paksaan yang kejam. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Isra’, ayat 32:
"Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat."
Lebih menyayat hati apabila pelaku jenayah ini adalah remaja, golongan yang sepatutnya sedang diasuh dengan ilmu dan akhlak mulia. Ini menunjukkan betapa rapuhnya benteng iman dan akhlak dalam kalangan sebahagian remaja kita hari ini. Kejadian seperti ini menuntut kita semua untuk melihat semula sistem pendidikan dan asuhan anak-anak kita. Pendidikan agama tidak boleh dianggap sebagai subjek sampingan. Ia perlu dijadikan asas kepada pembentukan peribadi dan akhlak sejak kecil lagi. Sabda Rasulullah SAW:
"Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci). Maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi." (HR Bukhari dan Muslim).
Jelas bahawa ibu bapa memainkan peranan yang sangat besar dalam mencorakkan keperibadian anak-anak. Pendidikan bukan sahaja tentang pencapaian akademik, tetapi juga bagaimana anak-anak mengenal Allah SWT, menghormati orang lain, menjaga maruah, dan menghindari dosa. Apabila berlaku kes seperti ini, ia bukan hanya kegagalan individu, tetapi cerminan kegagalan kolektif – keluarga, sekolah, masyarakat, dan negara. Di mana silapnya? Apakah kita terlalu sibuk dengan hal dunia hingga lupa mendidik anak-anak tentang dosa dan pahala?
Dalam hal seperti ini, masyarakat perlu lebih cakna, lebih berani menegur, dan lebih peka dengan perubahan sikap anak muda hari ini. Budaya normalisasi maksiat melalui media sosial, hiburan, dan pengaruh luar perlu dibendung dengan pendekatan yang bijak dan berkesan.
Kita merayu agar keadilan ditegakkan untuk mangsa. Namun lebih penting, kita harus sama-sama berusaha memastikan perkara ini tidak berulang. Setiap anak adalah amanah. Setiap keluarga adalah benteng pertama. Dan setiap daripada kita bertanggungjawab untuk membina masyarakat yang lebih selamat, lebih berakhlak, dan lebih takutkan Allah SWT. Bersamalah kita kembali kepada ajaran Islam yang syumul dengan menjadikan iman dan takwa sebagai tunjang kehidupan. Kerana apabila manusia hilang rasa takut kepada Allah SWT, maka tidak mustahil maruah manusia dipijak seperti tiada harga.
Sumber: pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment