WANITA JIHAD TANPA SENJATA: PERSPEKTIF HUKUM DAN REALITI


Jihad di jalan Allah SWT merupakan sesuatu perbuatan yang agung dan mulia serta dijanjikan dengan ganjaran yang sangat besar. Oleh yang demikian, setiap daripada kalangan orang yang beriman sentiasa mencari peluang untuk berjihad bagi memperoleh keredhaan Allah SWT dan ganjaran yang dijanjikan tersebut.

Jihad tidak semestinya mengangkat senjata. Misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang menghantar bantuan makanan, ubat-ubatan dan bantuan kemanusiaan turut terangkum dalam kategori jihad di jalan Allah SWT. Persoalannya, apakah hukum wanita yang terlibat dalam misi jihad ini?

Hukum
Tidak wajib: Pada asasnya, hukum bagi wanita keluar berjihad di luar negara adalah tidak wajib. 
Harus: Jika terdapat keperluan dan hajat yang memerlukan penglibatan wanita bagi membantu wanita lain yang berada dalam keadaan peperangan tetapi hendaklah menepati garis panduan dan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syarak.

Garis panduan dan syarat-syarat keharusan penglibatan wanita dalam usaha jihad
1. Hendaklah melaksanakan peranan yang signifikan selain daripada berperang seperti menyampaikan bantuan makanan, ubat-ubatan serta keperluan asasi yang sangat diperlukan dalam usaha jihad;
2. Memastikan keselamatan dan keamanan dalam melaksanakan usaha tersebut terjamin dan dilindungi oleh organisasi yang tersusun dan mempunyai hubungan dengan pihak-pihak yang bertanggungjawab seperti pemerintah dan kerajaan;
3. Menutup aurat dan memelihara maruah diri daripada sebarang perkara yang menimbulkan fitnah.

Kesimpulannya, sememangnya tiada kewajipan ke atas kaum wanita untuk terlibat mengangkat senjata dalam peperangan jihad. Namun begitu, sumbangan dan peranan mereka dalam pelbagai aspek lain dalam membantu kejayaan sesuatu misi jihad merupakan suatu perkara yang dituntut dan terpuji seperti yang pernah dilakukan Saidatina Aisyah dan Ummu Sulaim dalam peperangan Uhud.

Justeru itu, hukum wanita keluar berjihad berdasarkan situasi dan keadaan mereka yang menepati syarat-syarat ditetapkan oleh syarak adalah suatu perkara kebaikan dan mendapat pahala di sisi Allah SWT sebagai mana misi GSF. Lebih-lebih lagi dalam situasi genting yang dihadapi oleh rakyat Palestin pada ketika ini yang begitu terdesak kepada pertolongan dan bantuan tidak kira daripada siapa jua yang mampu menolong mereka.

Sumber: Irsyad Hukum #929 – Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


 

Comments