EKSPRESI SENI BERKIBLATKAN BARAT DIPERTAHANKAN GOLONGAN LIBERAL

 


Isu pemakaian dalam video muzik terbaru kumpulan Dolla yang menampilkan pemakaian terlalu seksi dilihat sebagai bercanggah dengan normalisasi masyarakat tempatan. Ekspresi seni yang cuba ditonjolkan sebagai ‘daya tarik visual’ terhadap lagu tersebut bukan sahaja berpakaian seksi, tetapi lebih separuh ‘lucah’ dalam pengertian etika berpakaian masyarakat Islam, ia juga menunjukkan satu sisi seolah-olah Sabronzo, salah seorang penyanyi wanita yang beragama Islam hampir ‘menanggalkan’ tali baju dalamnya di bahagian belakang.

Tindakan tersebut bukan sahaja keterlaluan perilaku, bahkan seolah-olah cuba membudayakan seni melampau yang sepatutnya dijaga dengan penuh rasa hormat oleh seorang wanita beragama Islam. Ekoran klip video berkenaan, masyarakat Islam mula mempersoalkan kewajarannya kerana sepatutnya kumpulan Dolla lebih memahami sensitiviti masyarakat dan tidak hanyut dalam ekspresi seni versi barat mahupun K-POP, yang cuba dibangunkan dalam kalangan aktivis industri seni tempatan.

Lebih menyedihkan apabila, tindakan keterlaluan kumpulan Dolla tersebut mendapat sokongan daripada bekas Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, yang menganggap teguran Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) ke atas klip video tersebut dan ke atas seorang perempuan beragama Islam, dikatakan cuba mengugut Sabronzo atas dakwaan melakukan kesalahan jenayah syariah.   

Mentaliti beliau yang telah dipengaruhi liberalisme tersebut nampaknya lebih menegakkan nilai-nilai kebebasan yang merosakkan akidah dan moral masyarakat, walau hakikatnya tahu bahawa Islam sangat menekankan maruah wanita, bukan terlalu murah sehingga tidak segan silu mempamerkan asetnya di khalayak ramai seperti artis barat yang sudah terhasut dengan nilai-nilai liberalisme, kapitalisme, eksploitasi apa sahaja asalkan meraih jumlah penonton yang tinggi, berselindung disebalik kerangka kebebasan dan hak asasi.

Islam hadir untuk membaiki akhlak manusia, sebab itulah akhlak merupakan tiang kehidupan yang cukup penting dalam Islam. Tanpa akhlak, integriti seseorang akan terlucut dalam cara hidup seorang Muslim. Pada masa yang sama, syariah tidak menyekat hak asasi, tetapi cuba meletakkan hak itu dalam konteksnya yang betul dan adil, bukan di atas kepentingan komersial. Janganlah demi wang, semuanya boleh dikorbankan, termasuklah nilai-nilai agama itu sendiri. 

Sumber: Berita Harian – 15 NOV 2025 dan dhomir.com


Comments