GELOMBANG EKSTREMISME DIGITAL: MODUS OPERANDI TERBARU TARUHAN KUMPULAN PENGGANAS MEREKRUT KANAK-KANAK


Malaysia telah pun menyaksikan penglibatan golongan kanak-kanak turut serta berjuang di medan peperangan yang berlaku di Syria atas nama jihad dan syahid. Contohnya kumpulan Daesh dan Jemaah Islamiyah antara kumpulan pengganas di Malaysia yang merekrut golongan kanak-kanak dengan tujuan untuk membina pasukan pelapis dan pemimpin kumpulan pada masa hadapan.

Bezanya dahulu, kumpulan pengganas tersebut menggunakan media sosial sebagai platform penghubung untuk mempengaruhi kanak-kanak turut terlibat dalam tindakan subversif tersebut. Kebanyakannya yang mempunyai rasa kecewa dan marah terhadap situasi semasa dalam negara, mahupun dunia mudah terdorong dengan propaganda dan ideologi yang disebarkan pengganas sehingga sanggup menggadaikan harta dan nyawa untuk menyertai kumpulan ekstremis tersebut.

Namun, kini modus operandinya sedikit berbeza dengan beralih ke permainan dalam talian untuk mempengaruhi dan menyebarkan fahaman radikal terhadap kanak-kanak di seluruh dunia. Golongan kanak-kanak sering melihat permainan sebagai hiburan yang tidak berbahaya, menjadikan mereka sasaran mudah kepada mesej ekstremis. Akibatnya, timbul rasa ingin tahu, timbul rasa ingin mencuba dalam diri sehingga ingin dipraktikkan di alam realiti. Ibarat pucuk dicita ulam mendatang apabila tindakan subversif di alam realiti itu turut disertai dengan ‘upah’ yang lumayan tanpa mereka sedar bahawa perbuatan tersebut adalah salah di sisi agama dan undang-undang. 

Oleh sebab itu, perlunya pihak-pihak terlibat khususnya pihak ‘counter terrorism’ setiap negara segera mengambil langkah pembendungan termasuklah terus-menerus menyebarkan mesej keamanan dalam talian bagi menangkis naratif ekstremis. Mereke rekrut melalui talian, kita ‘counter’ melalui talian. Justeru itu, adalah tidak sia-sia setiap mesej keamanan yang disebarkan, kerana ia amat membantu kognitif pembaca khususnya golongan kanak-kanak supaya yang terdoktrin di dalam kepalanya adalah perkara yang benar di sisi syariat dan undang-undang, bukannya ideologi radikal yang akhirnya memesongkan akidah dan tingkahlaku di luar normalisasi.

Bukan tunggu ‘bom meletup’ baru nak ambil tindakan. Nescaya dikala itu sudah terlambat. Sebab itu pentingnya pihak ‘counter terrorism’ menjalankan tugas-tugas awal dalam pembendungan, demi masa hadapan negara yang aman dan harmoni.   Renung-renungkan.    

Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia- NOV 2025 dan Bernama – 14 NOV 2025


 

Comments