ISU ‘MUSLIM CHOICE’: HANYA JAKIM BERAUTORITI DALAM PENSIJILAN HALAL MALAYSIA


Baru-baru ini tular isu penggunaan label atau logo ‘Muslim Choice’ pada sesetengah produk, kononnya menunjukkan produk tersebut mesra Muslim. Namun, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan bahawa pengiktirafan seperti itu tidak sah dan boleh mengelirukan pengguna kerana hanya JAKIM serta Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) yang diiktiraf berkuasa mengeluarkan sijil dan logo halal rasmi di Malaysia.

Sekiranya ada mana-mana pihak menyerupai pensijilan halal tanpa kebenaran JAKIM, ianya boleh disiasat di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730). Akta ini melindungi pengguna daripada dakwaan palsu berkaitan halal dan memastikan piawaian halal negara kekal konsisten dan terpelihara.

Langkah tegas ini penting supaya pengguna Islam tidak tertipu dengan logo yang tidak sah. Halal bukan sekadar logo atau strategi jualan, tetapi melibatkan hukum agama dan kepercayaan. Syarikat yang benar-benar ingin mendapatkan pengiktirafan halal sepatutnya memohon terus kepada JAKIM atau JAIN, bukannya mencipta logo atau label sendiri, mahupun berurusan dengan pihak lain selain JAKIM atau JAIN.

Tips untuk pengguna:
i. Semak logo halal rasmi JAKIM;
ii. Elak produk dengan logo mencurigakan;
iii. Gunakan aplikasi ‘Verify Halal’;
iv. Lapor kepada KPDN atau JAKIM jika jumpa produk guna logo halal yang meragukan.

Kesimpulannya, pensijilan halal bukan sekadar lambang komersial, tetapi tanggungjawab syarie dan undang-undang. Kejelasan autoriti seperti JAKIM memastikan keutuhan konsep ‘halalan toyyiban’ terus terpelihara, bukan sekadar pilihan tetapi kewajipan. 

Sumber: Sinar Harian – 3 NOV 2025 dan Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia – NOV 2025


 

Comments