KEMUNCULAN AJARAN SESAT JEMAAH NUR AHMAD ISTANA PELANG

 

Jemaah Nur Ahmad Istana Pelangi yang berasal dari Jerantut, Pahang, disyaki terbabit dengan kegiatan ajaran sesat kerana ideologi, amalan dan tingkahlaku adalah bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah. 

Barangan yang dirampas seperti tongkat, ikatan kain kuning, kain hitam didakwa boleh mengayakan orang, batu dililit di kain kuning, kertas tatacara niat solat jamak fardhu seumur hidup, nota lafaz selawat serta ikrar yang meragukan adalah disyaki digunakan untuk amalan rutin harian. Berasaskan perkara tersebut, ternyata jelas Jemaah Nur Ahmad Istana Pelangi berpegang kepada ideologi yang bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah. 

Perbuatan ‘ayahanda’ (ketua kumpulan) yang menyewa dan mengubah suai sebuah bekas gudang perabot dengan dilengkapi bilik penginapan, ruang tamu serta surau khas menunjukkan perbuatan cubaan untuk mengisolisasikan (mengasingkan) diri dari masyarakat bagi memudahkan penyebaran ideologi sesat dalam kalangan pengikut yang direkrut. Bahkan, kumpulan ajaran sesat ini dipercayai telah menjalankan kegiatannya selama dua tahun tanpa disyaki penduduk sekeliling menunjukkan betapa bahayanya kewujudan mereka dalam masyarakat secara tersembunyi.

Justeru itu, masyarakat diseru supaya sentiasa prihatin dengan keadaan sekeliling terutamanya berkaitan kewujudan aktiviti-aktiviti yang menyimpang dari akidah perlu dilaporkan pada pihak berkuasa dengan segera. Isu berkaitan penyimpangan akidah bukan sekadar isu penguatkuasaan, tetapi juga isu pemeliharaan kesucian Islam dan keselamatan akidah umat. 

Maka, berhati-hatilah dan jangan mudah terpedaya dengan mana-mana individu atau kumpulan yang mendakwa mempunyai keistimewaan agama tertentu atau membawa ajaran luar dari kebiasaan. Cari maklumat terlebih dahulu daripada pihak berkuasa agama sebelum menyertai mana-mana kumpulan keagamaan supaya akidah diri, keluarga dan umat Islam sentiasa terpelihara di jalan yang lurus hendakNya.

Sumber: Berita Harian – 9NOV 2025


Comments