Krisis di Sudan adalah konflik antara dua kuasa tentera iaitu Sudan Army Forces (SAF) dan Rapid Support Forces (RSF). SAF diketuai oleh Jeneral Abdel Fattah al-Burhan (Presiden De Facto) dan RSF diketuai oleh Jeneral Mohamed Hamdan Dagolo (Hamedti).
RSF?
RSF pada asalnya adalah kumpulan militan Janjaweed yang mewakili pelbagai cabang kumpulan dan kabilah serta pernah dituduh memerangi golongan pemberontak (etnik bukan Arab) di Darfur. Dalam tempoh berkenaan, RSF didakwa terpalit dalam gerakan pembersihan etnik di wilayah. Sejak penubuhannya, Hemedti telah membina pasukan bersenjata yang kuat dan mampu campur tangan dalam beberapa konflik yang berlaku di Yaman dan Libya. Hamedti turut memegang kepentingan ekonomi di Sudan dengan mengawal beberapa lombong emas.
RSF kini semakin mengganas di mana turut didakwa atas beberapa jenayah yang melibatkan pelanggaran hak asasi kemanusiaan termasuklah pembunuhan beramai-ramai terhadap orang awam, serangan seksual dan penyeksaan.
Kronologi tercetus konflik SAF dan RSF
APR 2019- SAF dan RSF telah membentuk kerajaan gabungan tentera-awam yang diketuai oleh Fattah al-Burhan dan timbalannya Hamedti, untuk menggulingkan pemerintahan diktator Omar al-Bashir.
Akhir 2021 – SAF dan RSF telah menandatangai perjanjian rangka kerja peralihan kuasa selama dua tahun dengan parti-parti politik di Sudan di mana pada akhir tempoh peralihan kuasa tersebut akan diadakan Pilihan Raya Umum yang akan memastikan seorang Perdana Menteri baharu akan dilantik untuk mentadbir kerajaan awam iaitu mengikut sistem pemerintahan demokratik.
Hubungan SAF dan RSF mulai retak apabila muncul perbezaan pendapat mengenai pelan peralihan kepada pemerintahan awam dan isu penyatuan RSF ke dalam tentera (SAF). Fattah al-Burhan mahu semua 100,000 anggota RSF diletakkan di bawah kawalan tentera rasmi, tetapi Hamedti menentang hasrat tersebut kerana ia bakal melemahkan pengaruhnya.
15 APR 2023- Ketegangan memuncak apabila pertempuran besar meletus di ibu negara Khartoum selepas RSF menggerakkan tenteranya di seluruh negara. Tindakan ini dianggap sebagai provokasi dan ancaman kepada tentera Sudan.
JUN 2025 – RSF mencapai kemenangan besar apabila menguasai wilayah di sempadan Sudan-Libya-Mesir, diikuti dengan penawanan bandar strategik El-Fasher pada OKT 2025. Ia menjadikan mereka mengawal hampir seluruh wilayah Darfur dan sebahagian besar Kordofan serta menjarakkan pengaruh SAF ke utara dan timur Sudan.
SAF pula mengekalkan kawalan struktur kerajaan yang diiktiraf antarabangsa, termasuk pangkalan operasi di pelabuhan Laut Merah.
Setakat OKT 2025, lebih 150,000 nyawa terkorban dan memaksa lebih 12 juta penduduk melarikan diri meninggalkan kediaman mereka untuk mencari tempat berlindung sejak konflik tercetus.
Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia – NOV 205 dan Sinar Harian- NOV 2025

Comments
Post a Comment