Isu penggunaan rotan di sekolah kembali menjadi perbualan hangat dalam kalangan masyarakat. Ada yang bersetuju bahawa rotan perlu dikekalkan sebagai satu bentuk didikan, dan ada pula yang menentangnya atas alasan ia membawa kepada kekerasan fizikal terhadap pelajar. Namun, sebelum kita membuat penilaian, sewajarnya kita kembali meneliti isu ini dari kaca mata Islam. Agama menekankan kasih sayang dalam mendidik, namun tidak menafikan tegasnya disiplin dalam membentuk akhlak.
Islam tidak pernah menganjurkan kekerasan dalam pendidikan, tetapi Islam juga tidak menolak pendekatan tegas apabila perlu. Dalam al-Quran dan hadis, kaedah mendidik anak dan umat ditegaskan mesti berasaskan kasih sayang, hikmah, dan amanah. Rasulullah SAW bersabda:
“Suruhlah anak-anak kamu mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun, dan pukullah mereka kerana meninggalkannya ketika mereka berumur sepuluh tahun, dan pisahkan tempat tidur mereka.” (HR Abu Daud).
Hadis ini bukanlah galakan untuk memukul sesuka hati, tetapi menunjukkan bahawa rotan adalah langkah terakhir setelah nasihat dan tunjuk ajar tidak lagi berkesan. Ia simbol kepada ketegasan dalam kasih sayang, bukan letusan amarah.
Dalam Islam, setiap amanah adalah tanggungjawab yang akan dipersoalkan di akhirat. Seorang guru yang diberi amanah mendidik bukan hanya mengajar ilmu, tetapi membentuk akhlak dan peribadi anak bangsa. Jika guru itu menggunakan rotan, ia mesti dilakukan dengan niat mendidik, bukan menghukum secara marah atau dendam. Sabda Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya Allah mencintai apabila seseorang daripada kamu melakukan sesuatu kerja, dia melakukannya dengan tekun (ihsan).” (HR Baihaqi).
Maka, guru yang merotan dengan ihsan akan memastikan tindakannya berpada, beretika, dan penuh tanggungjawab. Sebaliknya, jika rotan dilakukan dalam keadaan marah, ia boleh menzalimi pelajar dan mencemarkan tujuan pendidikan itu sendiri.
Para ulama telah menetapkan beberapa garis panduan Islamik dalam mendisiplinkan anak atau pelajar, antaranya:
1. Tidak memukul di muka atau tempat sensitif.
2. Tidak menggunakan alat yang boleh mencederakan.
3. Tidak memukul ketika sedang marah.
4. Dilakukan selepas teguran dan nasihat tidak berkesan.
5. Disertai dengan penjelasan dan kasih sayang selepasnya.
Dengan cara ini, rotan menjadi alat mendidik jiwa, bukan mencederakan tubuh. Ia mengajar anak tentang tanggungjawab dan akibat perbuatan, namun tetap disampaikan dalam suasana kasih dan hormat.
Guru bukan musuh kepada anak-anak, malah mereka adalah penyambung amanah ibu bapa di sekolah. Apabila guru menjalankan tugas dengan niat mendidik, masyarakat sewajarnya memberi sokongan dan kepercayaan, bukan kecaman tanpa memahami konteks.
Ibu bapa juga perlu mendidik anak-anak supaya menghormati guru, kerana keberkatan ilmu lahir daripada adab terhadap pendidik. Jika setiap teguran guru dianggap sebagai kekerasan, maka hilanglah wibawa pendidikan Islam yang membina akhlak dan disiplin.
Merotan bukanlah satu bentuk kekerasan, tetapi amanah yang mesti dijalankan dengan penuh hikmah dan kasih. Dalam dunia yang semakin menyanjung kebebasan tanpa batas, pendekatan tegas yang berlandaskan adab dan agama masih perlu untuk membina generasi yang berdisiplin dan berakhlak. Marilah kita sebagai masyarakat Islam melihat rotan bukan sebagai senjata kemarahan, tetapi sebagai lambang tanggungjawab dan cinta seorang guru terhadap anak bangsanya.
Sumber: Portal Bernama (23/10/2025)

Comments
Post a Comment