PROVOKASI MUSUH ISLAM CUBA ‘MENGKRISTIANKAN’ MEKAH AL-MUKARRAMAH

 


Zaman media sosial yang serba pantas menyaksikan pelbagai maklumat tersebar dalam sekelip mata. Malangnnya, ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menyebarkan kandungan berbentuk provokasi yang menghina Islam. Lebih-lebih lagi kini kepesatan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) membolehkan kepelbagaian produk dikeluarkan untuk pelbagai tujuan. 

Namun, apabila AI jatuh di tangan yang salah, ianya boleh menjadi ‘senjata’ bahaya yang memanipulasikan pemikiran dan seterusnya mampu mempengaruhi tingkah laku mahupun akidah pengguna media sosial. Contohnya, seorang pengguna tiktok dengan akaun bernama ‘liturgy.of.the.hours’ [https://www.tiktok.com/@liturgy.of.the.hours?_t=ZS-90yxAkqVv6e&_r=1] sangat biadap apabila keseluruhan kandungan akaunnya adalah berkenaan menghina agama Islam. Kota suci bagi umat Islam, Mekah al-Mukarramah dipermainkan, diedit dengan unsur-unsur Kristianisasi, menghina al-Quran, menghina Nabi Muhammad SAW dan banyak lagi kandungan jelek. 

Tingkah laku melampau yang menghina Islam oleh pemilik akaun ini dianggap sebagai cubaan provokasi terhadap umat Islam dan cubaan memanipulasikan pemikiran masyarakat dengan kandungan palsu berkenaan agama Islam. Jika diikutkan rasa hati yang meluap-luap, sudah tentu ramai mengambil jalan pintas dengan melempiaskan kemarahan masing-masing secara semberono. Namun, apa beza kita sebagai umat Islam dengan mereka jika sama-sama tidak beradab?

Sebagai umat Islam, kita berperanan untuk mempertahankan kesucian agama apabila dihina, namun syarak telah menetapkan beberapa etika dalam tindak-tanduk kita apabila menghadapi provokasi tersebut. Antaranya adalah:
i. Tidak membalas hinaan dengan cercaan yang serupa;
ii. Bersabar menghadapi celaan;
iii. Balas keburukan dengan kebaikan;
iv. Tidak menularkan kandungan menghina Islam dan bercanggah dengan hukum syarak;
v. Melaporkan video yang ada kandungan kontroversi atau penghinaan terhadap agama Islam.

Justeru itu, umat Islam dinasihatkan agar menampilkan akhlak mulia walaupun berhadapan dengan musuh, sebagaimana Rasulullah SAW memperlaku tawanan perang dengan penuh ihsan. Dalam isu ini, sambil menjaga akidah dan tingkah laku dari membalas provokasi musuh Islam tersebut di media sosial, kita boleh mengambil langkah untuk membuat laporan (report) dan sekatan (block) pada akaun tersebut supaya aktivitinya terhenti. Jadi, sebarkan pada seangkatan umat Islam untuk sama-sama berbuat demikian, moga sekecil usaha ini, Allah SWT pandang sebagai usaha mempertahankan agamaNya dan seterusnya mendapat keredhaan Allah SWT.

Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia – NOV 2025 dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


Comments