RAWATAN FASDU SEMAKIN POPULAR, NAMUN APAKAH HUKUMNYA?


Dari sudut Bahasa, fasdu membawa maksud memotong pembuluh darah. Dari segi istilah pula, fasdu merupakan perbuatan melukakan pembuluh darah untuk mengekstrak darah yang membahayakan tubuh. Dari sudut klinikal, ia adalah proses mengambil darah daripada vena untuk membuang sel darah tertentu (merah, putih, plasma darah, plstlet darah, zat besi yang berfungsi membentuk sel darah merah) berlebihan daripada darah. 

Antara penyakit yang memerlukan seseorang melalui kaedah rawatan fasdu ini adalah kanser darah dan penyakit yang menyebabkan tubuh menyerap zat besi secara berlebihan. Dengan menjalankan rawatan fasdu ini, ia mampu mengurangkan sejumlah sel darah merah daripada badan, kemudian tubuh akan menghasilkan sel yang baru menggunakan zat besi dalam badan. 

Hukum rawatan fasdu menurut syarak

Fasdu adalah salah satu rawatan Islam yang pernah disebutkan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud:
“Penyembuhan terdapat pada tiga perkara: secawan bekam, seteguk madu, penyelaran api. Sedangkan aku melarang umatku (makruh) daripada rawatan dengan besi penyalar.”

Harus dengan syarat:
i. Dijalankan di bawah pengawasan mereka yang pakar sahaja (bertauliah dan berkelayakan dari segi undang-undang)
ii. Hanya kepada pesakit yang betul-betul memerlukan rawatan ini
iii. Kawasan anggota badan pesakit yang sesuai untuk fasdu
iv. Dilakukan pada masa yang sesuai serta meraikan keadaan pesakit yang akan menjalani rawatan ini 
Haram
Jika rawatan fasdu dilakukan tanpa pemantaun pakar yang bertauliah kerana rawatan fasdu pastinya menghilangkan banyak darah yang boleh membawa kepada mudarat yang besar.

Kesimpulannya, fasdu adalah satu kaedah rawatan yang berkongsi tujuan yang sama dengan berbekam, iaitu mengeluarkan darah dari tubuh pesakit. Adapun yang membezakan antara keduanya adalah, berbekam pada kebiasaannya hanya melibatkan arteri-arteri kecil pada kulit tubuh sahaja (anggota luaran), manakala fasdu melibatkan vena dan urat-urat besar yang terdapat pada anggota tubuh seseorang (organ dalaman). Pada asalnya hukum membuat rawatan fasdu adalah makruh, namun jika menepati syarat-syarat ditetapkan, maka hukumnya harus, tetapi boleh jatuh haram jika ia memudaratkan.

Sumber: #7302 https://zulkiflialbakri.com/7302-rawatan-fasdu/ dan Malaysia Gazette – 1 NOV 2025


 

Comments